Agrobank Tawar Sokongan Bersasar Susulan Ketidaktentuan Global
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Agrobank menyediakan bantuan bersasar kepada pelanggan yang terkesan akibat ketidaktentuan global yang berterusan, termasuk perkembangan di Asia Barat.
Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata seiring dengan usaha industri, Agrobank melaksanakan pendekatan tertumpu berasaskan keperluan, termasuk penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan serta khidmat nasihat bagi membantu pelanggan mengurus cabaran kewangan.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata bank itu kekal komited dalam menyokong pelanggan, khususnya agropreneur dan perusahan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh mencabar ini
“Pelanggan yang menghadapi kesukaran digalakkan untuk berhubung lebih awal dengan kami bagi meneroka bantuan yang bersesuaian,” katanya.
Sebagai institusi kewangan pembangunan, Agrobank akan terus menyokong daya tahan sektor pertanian serta memastikan sekuriti makanan negara, di samping memantau perkembangan semasa dengan teliti.
-- BERNAMA