BERITA TERKINI   JPJ laksana pengecualian sementara fi tukar hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan mulai 1 Julai - MOF | BUDI Diesel diperluas kepada kenderaan persendirian milik syarikat jenis pikap dan jip - MOF | PRN Johor: Pastikan budaya berkempen dilaksanakan secara sihat berasaskan fakta, bukannya fitnah - Fahmi | HBH: Penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif, tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan - JPA | Hari Bekerja Hibrid inisiatif baharu pengaturan kerja lebih fleksibel untuk penjawat awam tanpa kurangkan waktu bekerja - JPA | 

GTA Holdings Peroleh Kelulusan Bursa Malaysia Bagi Penyenaraian Di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Penyenggara penerbangan, GTA Holdings Bhd mendapat kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata kelulusan itu merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan korporat GTA Holdings.

Beliau berkata kelulusan itu juga mencerminkan kemajuan dalam membina perniagaan sokongan penerbangan yang khusus, dengan kekukuhan keupayaan teknikal, hubungan pelanggan yang dipercayai serta kejelasan strategi pertumbuhan.

Ad Banner

“Tawaran awam awal (IPO) ini akan membolehkan kami memperkukuh keupayaan operasi, mengembangkan perniagaan dengan menceburi segmen sokongan penerbangan lengkap serta memperluas jangkauan pasaran di Malaysia dan luar negara.

"Kami percaya langkah ini akan meletakkan GTA Holdings pada kedudukan yang lebih kukuh untuk memanfaatkan peluang dalam industri penyenggaraan dan sokongan penerbangan, di samping terus memberikan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan kami," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut prospektus GTA Holdings, cadangan IPO itu akan melibatkan 329 juta saham, terdiri daripada terbitan awam sebanyak 205 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 124 juta saham sedia ada, bersempena dengan penyenaraian di Pasaran ACE.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

GTA Holdings menjelaskan terbitan awam tersebut merangkumi 64.57 juta saham untuk permohonan warganegara Malaysia, 12.91 juta saham diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak, serta 127.52 juta saham melalui tawaran persendirian kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih.

"Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 1.29 bilion saham, saham IPO itu mewakili kira-kira 25.48 peratus daripada keseluruhan asas saham syarika yand diperbesar,” katanya.

GTA Holdings memaklumkan hasil yang diperoleh daripada terbitan awam itu akan digunakan untuk membangunkan kemudahan operasi baharu, mengembangkan aktiviti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) helikopter di Asia Barat, serta mengembangkan perkhidmatan MRO bagi gear pendaratan, roda dan sistem brek pesawat.

Hasil itu juga akan digunakan untuk keperluan modal kerja serta perbelanjaan penyenaraian.

GTA Holdings menjelaskan kemudahan baharu itu akan menyokong pengembangan keupayaan teknikalnya dalam aktiviti MRO, memperoleh pensijilan tambahan, meningkatkan jumlah tenaga kerja serta melaksanakan inisiatif berkaitan latihan baharu.

Hong Leong Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen tawaran tunggal bagi IPO tersebut.

-- BERNAMA