Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS, Mata Wang Utama

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan kebanyakan mata wang utama pada Jumaat, dalam pergerakan bercampur-campur dalam pasaran pertukaran asing global. 

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0810/0865 berbanding dolar AS daripada 4.0840/0880 semasa ditutup pada Khamis.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pergerakan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) terus mempengaruhi sentimen pasaran, dengan hasil bon Perbendaharaan AS untuk tempoh 30 tahun meningkat lapan mata asas kepada 5.48 peratus, paras tertinggi dalam tempoh dua dekad.

“Kenaikan hasil bon jangka panjang itu menunjukkan premium risiko inflasi yang meningkat berikutan risiko geopolitik di Asia Barat yang memuncak memberi tekanan kepada harga minyak mentah.

“Kesemua faktor ini dilihat menyokong Indeks Dolar AS (DXY), yang meningkat 0.19 peratus kepada 101.285 mata berikutan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan meneruskan dasar monetari yang ketat,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner

Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka diniagakan antara RM4.08 dan RM4.10 hari ini.

Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.6413/6476 daripada 4.6451/6497 semasa ditutup pada Khamis dan mengukuh berbanding pound kepada 5.3910/3983 daripada 5.4023/4076.

Ia turut meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5694/5730 daripada 2.5723/5750 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1885/1931 daripada 3.1906/1940 semasa ditutup pada Khamis dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1854/2091 daripada 12.1950/2121.

Ringgit turut meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 227.7/228.2 daripada 227.9/228.2 dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.51 daripada 6.51/6.52 sebelum ini.

-- BERNAMA