Eversendai Peroleh Kontrak Bernilai RM400 Juta Di Singapura, India
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Eversendai Corporation Bhd memperoleh empat projek baharu dengan nilai keseluruhan RM400 juta di Singapura dan India, sekali gus memperkukuh nilai perolehan kontraknya.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, kontraktor keluli struktur siap guna global itu menjelaskan kontrak di Singapura diberikan oleh Kajima Overseas Asia Singapore Pte Ltd bagi projek pembangunan bersepadu Toa Payoh.
“Projek itu melibatkan pembinaan sebuah poliklinik, perpustakaan, kemudahan sukan, stadium, taman bandar dan aras bawah tanah,” menurutnya.
Di India, Eversendai memperoleh satu inisiatif penting di Amaravati, Andhra Pradesh, iaitu sebuah bangunan pejabat bersepadu untuk mewujudkan hab pentadbiran berpusat.
“Menara setinggi 40 tingkat itu, yang merupakan sebahagian daripada pembangunan Secretariat Towers, direka untuk menempatkan pejabat ketua jabatan peringkat negeri,” tambahnya.
Menurut syarikat itu, struktur berkenaan mengetengahkan kejuruteraan canggih dengan bahagian dalaman tanpa tiang bagi memaksimumkan ruang yang boleh digunakan.
“Teras tengah yang digabungkan dengan rangka diagrid luaran meningkatkan kecekapan struktur serta daya tarikan seni bina, di samping memerlukan ketepatan tinggi pada sambungan rasuk.
“Selain itu, penggunaan dek logam komposit dengan rangka keluli menyokong pembinaan yang lebih pantas dan mengurangkan beban struktur,” jelasnya.
Dalam usaha memperluas kehadiran di Mumbai, pihaknya turut memperoleh kontrak daripada Larsen & Toubro Ltd, Chennai, bagi kerja rentangan panjang keluli struktur untuk pembangunan Prestige Tower Y.
“Skop kerja Eversendai merangkumi kerja keluli struktur, kejuruteraan, reka bentuk sambungan serta penyediaan lukisan terperinci,” tambahnya.
Eversendai juga memaklumkan pihaknya turut diberikan kepercayaan oleh The New Era Agencies Private Ltd untuk membina sebuah bangunan kediaman bertingkat tinggi dikenali sebagai Dhuleva One 50 di Malabar Hill, Mumbai, berdasarkan kontrak kos tambahan.
Pemberian semua projek itu membuktikan keupayaan syarikat dalam melaksanakan projek pembinaan yang berskala besar, kejuruteraan bernilai tinggi dan berkualiti yang disokong oleh pasukan teknikal berpengalaman, di pelbagai negara, jelasnya.
“Eversendai kekal berada pada kedudukan kukuh, disokong oleh nilai perolehan kontrak yang mantap, rancangan bagi bidaan tender yang aktif serta permintaan berterusan terhadap kepakaran kejuruteraan dan pembinaan kami dalam melaksanakan projek tanpa kompromi terhadap aspek keselamatan, kualiti dan penyerahan tepat pada masanya.
“Eversendai yakin untuk mengatasi cabaran semasa, disokong oleh beberapa kemungkinan pemberian projek dalam beberapa bulan akan datang,” menurutnya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif, Tan Sri A K Nathan berkata keyakinan, sokongan berterusan dan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan sejak sekian lama, pihak berkepentingan serta pekerja berdedikasi mengukuhkan lagi kedudukan pasaran, kekuatan asas dan daya tahan operasi kumpulan dalam tempoh mencabar ketika ini,
“Walaupun keadaan pasaran luaran tertentu berada di luar kawalan Eversendai namun tumpuan kami untuk melaksanakan projek dengan cemerlang di samping komited untuk bangkit semula lebih kukuh kekal tidak berubah,” katanya.
-- BERNAMA