Ryt Bank Lancar Ryt Invest, Tawar Pelaburan Patuh Syariah Serendah RM1
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Ryt Bank telah melancarkan platform pelaburan dalam aplikasi baharu yang dinamakan, Ryt Invest, pelaburan patut syariah yang pertama kali dibawa oleh sebuah bank digital dengan caj jualan sifar peratus.
Bank digital itu melalui satu kenyataan hari ini berkata Ryt Invest merupakan produk perkongsiannya dengan Opus Asset Management Sdn Bhd (OpusAM).
Ryt Invest dibina di atas empat pembezaan utama, iaitu bank digital pertama di Malaysia yang menawarkan dana diterajui pakar dalam aplikasi, membolehkan pelanggan melabur serendah RM1, sifar peratus caj jualan dengan akses patuh syariah dan bonus pelancaran satu peratus setahun terhad.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wilson Soon berkata Ryt Invest bukan sekadar sebuah produk pelaburan biasa, sebaliknya, ia menyediakan akses kepada rakyat Malaysia yang merasakan bahawa pelaburan telah menjadi terlalu kompleks, mahal dan terasing daripada perbankan harian.
"Dengan Ryt Invest, kami menjadikan kepakaran pelaburan yang dipercayai oleh institusi besar boleh diakses melalui aplikasi selamat yang sama yang digunakan oleh pelanggan untuk menyimpan, berbelanja dan membuat pembayaran," katanya.
Ryt Invest mempunyai pilihan susun atur pilihan pelaburan yang diuruskan secara profesional yang direka untuk menyokong matlamat kewangan yang berbeza, selera risiko serta keutamaan pasaran iaitu Ryt Invest SavePlus, Ryt Invest Income dan Ryt Invest Gold.
"Ryt Invest SavePlus direka bagi pelanggan yang mencari pendekatan yang lebih stabil dan berisiko lebih rendah untuk mengembangkan wang mereka melalui strategi pelaburan patuh syariah, dengan caj jualan sifar peratus.
"Ryt Invest Income memberi tumpuan kepada menjana pulangan jangka panjang yang stabil melalui pelaburan terpelbagai yang diuruskan secara profesional manakala Ryt Invest Gold menyediakan pendedahan bertema emas merentas aset terpelbagai, menawarkan pelanggan kaedah tambahan untuk membuat kepelbagaian dalam pasaran yang sentiasa berubah," katanya.
Untuk menggalakkan penyertaan awal, Ryt Bank menawarkan ganjaran bonus tambahan satu peratus setahun yang dijamin ke atas jumlah nilai pelaburan pelanggan, tanpa had untuk masa yang terhad.
Ganjaran bonus ini dikira setiap hari pada pukul 12 pagi berdasarkan jumlah aset di bawah pengurusan dan dikreditkan setiap minggu ke dalam Ryt Poket pelanggan.
Pelanggan yang melengkapkan pesanan pembelian pertama mereka yang berjaya akan membuka kunci tempoh ganjaran bonus 90 hari, manakala kempen akan berlangsung mulai 28 Mei 2026 hingga 31 Ogos 2026, dengan penutupan pendaftaran menjelang 31 Ogos 2026.
Ryt Bank berkata Ryt Invest mencerminkan matlamatnya yang lebih meluas iaitu untuk membawa lebih banyak penjimatan, perbelanjaan dan pelaburan yang berkaitan dengan digital.
-- BERNAMA