BERITA TERKINI   Penerangan mengenai krisis bekalan global akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin depan - Akmal Nasrullah | Malaysia kekal pendirian tidak iktiraf junta Myanmar, lawatan tidak rasmi saluran komunikasi tangani krisis - Mohamad Hasan | ASEAN teliti pendekatan baharu perkukuh pelaksanaan 5PC bagi krisis di Myanmar - Mohamad Hasan | Sehingga 18 Jun lepas, pembiayaan lebih RM700 juta telah diluluskan kepada lebih 1,000 PKS - Akmal Nasrullah | Jumlah tenaga buruh meningkat 17.33 juta orang setakat April 2026, kehilangan pekerjaan turun 6,197 orang setakat 22 Jun - Akmal Nasrullah | 

Untung Bersih Suku Pertama RHB Bank Naik 14.2 Peratus Kepada RM856.75 Juta

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- RHB Bank mencatat keuntungan bersih lebih tinggi yang meningkat 14.2 peratus kepada RM856.75 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2026 berakhir pada 31 Mac, 2026 daripada RM750.03 juta setahun lepas, disokong oleh pendapatan bukan berasaskan pembiayaan, pendapatan pembiayaan bersih dan elaun kerugian kredit yang lebih rendah.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, bank itu memaklumkan perolehan hasil susut kepada RM4.26 bilion daripada RM4.38 bilion sebelum ini.

Pendapatan bersih berasaskan pembiayaan meningkat 4.6 peratus tahun ke tahun kepada RM1.6 bilion, disokong oleh pertumbuhan pinjaman kasar 6.2 peratus tahun ke tahun serta kos pembiayaan lebih rendah.

Ad Banner

Pendapatan bukan berasaskan pembiayaan menokok 14.1 peratus tahun ke tahun kepada RM600 juta susulan peningkatan pendapatan fi selain pendapat perdagangan bersih serta pelaburan.

Jumlah pendapatan mencecah RM2.2 bilion, disumbangkan oleh aliran pendapatan bersih berasaskan pembiayaan dan bukan pembiayaan.

Selain itu, RHB Bank mengekalkan disiplin kos secara berhemat dengan nisbah kos kepada pendapatan (CIR) sebanyak 46.2 peratus dan mengekalkan kedudukan modal dan mudah tunai yang baik.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada masa sama, jumlah asetnya mencecah RM365 bilion, disokong oleh pertumbuhan lembaran imbangan yang kukuh.

Dalam pada itu, ekuiti pemegang sahamnya berjumlah RM33 bilion dengan nisbah ekuiti biasa tahap 1 dan nisbah jumlah modal (TCR) masing-masing pada 14.7 peratus dan 17.1 peratus, sekali gus menjadi penampan kukuh terhadap ketidaktentuan luaran dan menyokong pertumbuhan masa depan.

Sementara itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata persekitaran operasi terus dipengaruhi oleh ketidaktentuan global, termasuk ketegangan geopolitik, dinamik perdagangan yang berubah dan sentimen pasaran yang berhati-hati.

“Dalam keadaan itu, kami kekal komited untuk menyokong pelanggan dan mengekalkan disiplin kewangan yang berhemat. Kami juga mengambil maklum banyak perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih berdepan tekanan kos dan ketidaktentuan luaran.

“Kami turut menyokong PKS melalui langkah-langkah bersasar, termasuk akses pembiayaan di bawah Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS Bank Negara Malaysia yang disokong oleh skim jaminan bagi meningkatkan akses pembiayaan,” katanya.

Kumpulan perbankan berkenaan juga kekal menumpukan aspek pelaksanaan keutamaan strategik dengan penekanan terhadap usaha mengekalkan pertumbuhan sambil memastikan pengurusan risiko kekal berhemat, memperkukuh daya tahan dan menyokong pelanggan dalam menghadapi keadaan pasaran yang berubah.

-- BERNAMA