BERITA TERKINI   PM Anwar catat kadar sokongan 52 peratus, tertinggi berbanding pemimpin politik lain - tinjauan Merdeka Centre | 153 laporan polis diterima setakat 3 petang berhubung kenyataan Puad Zarkashi - Ketua Polis Johor | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi, Capai Paras Tertinggi Baharu Pada 2026

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Jumaat, mencapai paras tertinggi baharu pada 2026, kata peniaga.

Beliau berkata kenaikan itu disokong oleh pasaran niaga hadapan getah serantau yang lebih kukuh dalam keadaan bekalan rendah secara berterusan di negara-negara pengeluar utama.

Ad Banner

Katanya niaga hadapan getah Jepun dijangka mencatatkan kenaikan mingguan berikutan bekalan yang terhad, kos bahan mentah yang tinggi dan sentimen pasaran yang lebih baik.

“Indonesia terus menghadapi gangguan bekalan dan produktiviti yang rendah walaupun harga getah tinggi yang menggalakkan aktiviti penorehan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sentimen pasaran turut disokong oleh harga bahan mentah yang kukuh di Thailand, kekal tinggi semasa kemuncak musim pengeluaran berikutan permintaan yang tinggi daripada pembeli China.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, katanya sentimen terus didorong oleh data keuntungan perindustrian China yang lebih kukuh dalam optimisme terhadap pelaburan berterusan dalam sektor produk getah dan tayar serta potensi perjanjian damai Amerika Syarikat (AS)-Iran.

“Keuntungan firma perindustrian China meningkat 18.2 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun 2026, menunjukkan aktiviti ekonomi dan permintaan perindustrian yang meningkat.

“Sementara itu, laporan yang menunjukkan potensi perjanjian damai AS-Iran telah meningkatkan kesediaan untuk mengambil risiko pasaran secara keseluruhan dan mengurangkan kebimbangan mengenai ketegangan geopolitik yang berpanjangan,” katanya.

Bagaimanapun, peningkatan seterusnya sebahagiannya dikekang oleh kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi AS yang lembap.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar suku pertama AS disemak semula lebih rendah kepada 1.6 peratus, mencerminkan momentum ekonomi yang perlahan dalam mendepani tekanan inflasi,” katanya.

Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 melonjak 24 sen kepada 922 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 0.5 sen kepada 759 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada Isnin, 1 Jun dan Selasa, 2 Jun bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong serta cuti gantian Hari Wesak.

Dagangan akan disambung semula pada Rabu, 3 Jun.

-- BERNAMA