BERITA TERKINI   PM Anwar catat kadar sokongan 52 peratus, tertinggi berbanding pemimpin politik lain - tinjauan Merdeka Centre | 153 laporan polis diterima setakat 3 petang berhubung kenyataan Puad Zarkashi - Ketua Polis Johor | Singapura naikkan bayaran masuk teksi Malaysia ke S$15 setiap perjalanan bermula 1 Jan, 2027 - LTA  | 

Ringgit Teruskan Prestasi Cemerlang, Ditutup Tinggi Hari Ketiga Berturut-turut

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Ringgit meneruskan trend meningkat untuk hari ketiga berturut-turut apabila ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS, mata wang utama dan mata wang negara ASEAN pada Khamis, ketika pelabur menunggu data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) Amerika Syarikat (AS) yang akan diumumkan malam ini.

Pada 6 petang, unit tempatan menokok kepada 4.1160/1200 berbanding dolar AS daripada 4.1355/1400 ketika ditutup pada Rabu.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data inflasi PCE AS akan menjadi tumpuan utama dalam masa terdekat berikutan jangkaan bahawa kadar faedah AS yang seterusnya akan dinaikkan semakin mendapat perhatian selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu lepas.

“Bagaimanapun, harga minyak mentah sedang meningkat dengan minyak mentah Brent pada masa ini kekal pada paras US$72.86 setong, susut 38.3 peratus daripada paras tertinggi sebelumnya iaitu US$118.03 setong pada 29 April.

“Dalam hal ini, kadar inflasi AS dijangka menurun pada Jun, yang boleh mengubah hala tuju dasar monetari sekiranya harga minyak mentah terus kembali normal kepada paras sebelum perang iaitu sekitar US$60 hingga US$70 setong,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada penutupan dagangan, ringgit lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4261/4314 daripada 5.4481/4540 semasa ditutup pada Rabu, naik berbanding euro kepada 4.6762/6807 daripada 4.6921/6972 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.5437/5464 daripada 2.5567/5595.

Ringgit juga mengukuh berbanding mata wang serantau.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1742/1775 daripada 3.1848/1885 pada Rabu dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.3370/3538 daripada 12.3658/3845.

Ringgit juga naik berbanding rupiah Indonesia kepada 229.4/229.7 daripada 230.3/230.7 semalam dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.71/6.72 daripada 6.72/6.73.

-- BERNAMA