Rundingan Pusingan Pertama FTA Malaysia-Bangladesh Dijadual Berlangsung Pada Akhir Oktober Depan

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Pusingan pertama rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Bangladesh (MBFTA) dijadualkan berlangsung pada akhir Oktober 2026 di Dhaka, kata Pengarah Kanan Bahagian Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik dan Kumpulan Serantau Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Rashidi Said.

Beliau berkata langkah itu menandakan kemajuan penting dalam usaha memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan Bangladesh.

Ad Banner

“Rundingan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan bidang kepentingan bersama, termasuk akses pasaran dan peluang perniagaan.

“Mesyuarat pertama akan diadakan pada bulan Oktober, dan mesyuarat-mesyuarat seterusnya akan diteruskan sehingga ia dimuktamadkan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui  Majlis Makan Malam Rangkaian Perniagaan Bangladesh-Malaysia di sini pada Rabu.

Beliau berkata pusingan pertama rundingan berkenaan akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk mengenal pasti keperluan masing-masing serta menentukan apa yang boleh ditawarkan oleh Malaysia kepada Bangladesh dan sebaliknya.

Ad Banner

Rashidi akan bertindak sebagai ketua perunding bagi MBFTA.

MBFTA disasarkan untuk dimuktamadkan pada 2027 sebagai satu perjanjian yang menyeluruh, berpandangan jauh serta memberi manfaat bersama, selain mencerminkan amalan perdagangan global semasa.

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Manjurul Karim Khan Chowdhury, dilaporkan telah menyuarakan harapan agar MBFTA dapat ditandatangani menjelang Disember, 2027.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, Mosammat Shahanara Monica, dari Januari 2025 hingga Julai 2026, Bangladesh mengeksport barangan bernilai kira-kira US$305.55 juta ke Malaysia, manakala import dari Malaysia bernilai kira-kira US$2.26 bilion.

Eksport Bangladesh ke Malaysia merangkumi pakaian yang sudah siap untuk dipakai, pakaian fabrik berkait dan tenunan, produk kasut dan kulit, makanan dan minuman, serta sayur-sayuran dan rempah-ratus.

Sementara itu, Malaysia membekalkan pelbagai produk kepada Bangladesh, antaranya bahan api mineral, lemak dan minyak, besi dan keluli, plastik, jentera serta bahan kimia organik.

-- BERNAMA