BERITA TERKINI   Anthony Loke kekal dengan pendirian meletak jawatan Menteri Pengangkutan | PRN Melaka: Permohonan undi pos dibuka mulai hari ini, semua permohonan dibuat secara dalam talian - SPR | 

Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Ditutup Rendah Hari Ketiga Berturut-turut

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan aliran menurun apabila ditutup rendah untuk hari ketiga berturut-turut pada Rabu, sejajar dengan kelemahan niaga hadapan minyak kacang soya di Chicago Mercantile Exchange (CME).

Pedagang proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng, berkata kebimbangan terhadap eksport minyak sawit yang lembap dan peningkatan inventori terus menekan sentimen pasaran.

“Sehubungan itu, kami melihat harga mendapat sokongan pada paras RM4,700 setan, dengan rintangan pada RM4,850 setan,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata penurunan niaga hadapan MSM turut dipengaruhi prestasi eksport minyak sawit Malaysia yang lebih lemah, prospek pengeluaran yang lebih tinggi daripada jangkaan serta penurunan harga tenaga.

Beliau berkata musim hujan di Malaysia dan Indonesia menggalakkan peningkatan pengeluaran minyak sawit, dengan stok minyak sawit Malaysia pada akhir September dijangka melebihi tiga juta tan.

“UOB Kay Hian menganggarkan pengeluaran minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-20 Sept meningkat 20 hingga 24 peratus berbanding tempoh 1-20 Ogos. Pasaran tidak menjangkakan peningkatan pengeluaran sedemikian dan kini berdepan tekanan susulan peningkatan output.

Ad Banner

“Eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-20 Sept dianggarkan oleh Intertek Testing Services sebanyak 714,012 tan, susut 12.83 peratus, manakala AmSpec menganggarkannya pada 608,120 tan, turun 24.7 peratus berbanding anggaran eksport masing-masing bagi tempoh 1-20 Ogos,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak Oktober 2026 susut RM38 kepada RM4,601 setan, kontrak November 2026 merosot RM46 kepada RM4,685 setan dan kontrak Disember 2026 turun RM42 kepada RM4,768 setan.

Sementara itu, kontrak Januari 2027 susut RM33 kepada RM4,851 setan, Februari 2027 turun RM23 kepada RM4,929 setan dan Mac 2027 berkurangan RM19 kepada RM4,997 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 173,211 lot daripada 144,008 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka susut kepada 334,386 kontrak daripada 337,546 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi September Selatan susut RM60 kepada RM4,610 setan.

-- BERNAMA