BERITA TERKINI   Anthony Loke kekal dengan pendirian meletak jawatan Menteri Pengangkutan | PRN Melaka: Permohonan undi pos dibuka mulai hari ini, semua permohonan dibuat secara dalam talian - SPR | Aichi-Nagoya 2026: Atlet karate C.Shahmalarani sumbang emas ketiga negara dalam acara kumite bawah 50kg wanita | 

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Mata Wang Utama, Rendah Berbanding Dolar AS

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama pada Rabu tetapi rendah berbanding dolar AS berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah seterusnya oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) terus menyokong mata wang negara itu.

Pada 6 petang, ringgit menurun kepada 4.0780/0825 berbanding dolar AS daripada 4.0730/0775 semasa ditutup pada Selasa.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran menjangka Fed akan menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas lagi pada tahun ini, memberikan sokongan tambahan kepada dolar AS.

“Ringgit telah memulakan dagangan dengan kedudukan lebih kukuh, mencecah RM4.0640 berbanding dolar AS pada sebelah pagi.

“Bagaimanapun, ia tidak dapat mengekalkan pengukuhan tersebut. Berdasarkan dolar AS kekal kukuh, ringgit menurun kepada RM4.0780 pada sebelah petang.

Ad Banner

“Mata wang Asia lain turut mencatatkan pergerakan bercampur-campur,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6522/6573 daripada 4.6705/6757 semasa ditutup pada Selasa dan tinggi berbanding pound kepada 5.4156/4216 daripada 5.4452/4512.

Ringgit turut mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5836/5868 daripada 2.5958/5988 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1909/1947 daripada 3.1955/1993 semasa ditutup pada Selasa dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.2599/2782 daripada 12.2847/3035.

Bagaimanapun, mata wang tempatan menurun berbanding rupiah Indonesia kepada 228.8/229.2 daripada 227.7/228.0 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.51/6.52 daripada 6.49/6.50 sebelum ini.

-- BERNAMA