Pasaran Getah Terus Meningkat Untuk Sesi Ketiga Berturut-turut
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur terus meningkat untuk sesi ketiga berturut-turut untuk ditutup tinggi pada Rabu, disokong oleh harga niaga hadapan getah serantau yang lebih kukuh, keyakinan terhadap rundingan Amerika Syarikat (AS)-China dan AS-Iran serta bekalan yang lebih terhad akibat cuaca buruk, kata seorang peniaga.
Peniaga itu berkata sentimen turut dirangsang oleh langkah-langkah dasar China yang menggalakkan bagi industri automotif serta kekangan bekalan berterusan akibat faktor cuaca.
"Bagaimanapun, peningkatan selanjutnya dikekang oleh pengukuhan ringgit berbanding dolar AS serta jangkaan yang semakin meningkat mengenai dasar monetari AS yang lebih ketat," katanya kepada Bernama.
Memetik Presiden AS, Donald Trump, beliau berkata para pegawai AS telah mengadakan pertemuan selama tiga jam yang berjalan dengan sangat baik dan produktif dengan wakil Iran di New York, sekali gus meningkatkan harapan bahawa rundingan itu akhirnya dapat membantu menamatkan konflik di Asia Barat dan meredakan gangguan di sekitar Selat Hormuz.
"Selain itu, para pegawai AS dan China telah memberikan penilaian positif terhadap rundingan awal, termasuk perbincangan mengenai keselamatan kecerdasan buatan dan perdagangan, menjelang lawatan Presiden China, Xi Jinping ke AS dari 23 hingga 25 September," katanya.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (SMR 20) naik 14.5 sen kepada 1,006.5 sen sekilogram manakala harga lateks secara pukal meningkat sebanyak lima sen kepada 725.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA