Rimbunan Sawit Anggar Gangguan Di Estet Ulu Teru Kurangi Hasil Sebanyak RM10 Juta
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Rimbunan Sawit Bhd menganggarkan gangguan kepada operasi di Estet Ulu Teru telah mengurangkan hasilnya sebanyak kira-kira RM10 juta.
Syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia telah menyelesaikan penilaiannya terhadap kesan operasi dan kewangan daripada sekatan laluan akses utama ladang itu.
Sekatan itu telah ditarik balik pada 15 Sept lepas dan operasi di estet itu, yang dikendalikan oleh anak syarikatnya PJP Pelita Ulu Teru Plantation Sdn Bhd, disambung semula sepenuhnya pada 21 Sept 2026.
Rimbunan Sawit berkata lembaganya akan terus memantau keadaan, dan pengurusan akan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi melindungi operasi serta kepentingan syarikat.
Pada 6 Julai 2026, syarikat itu mengumumkan bahawa operasi di Estet Ulu Teru di Sarawak telah terganggu berikutan laluan akses utama terhalang sejak 18 Jun 2026.
Dikatakan gangguan itu telah menjejaskan penuaian dan pengangkutan tandan buah segar, serta operasi ladang tertentu yang lain.
-- BERNAMA