ADB Naikkan Unjuran Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Bagi 2026, 2027
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026 dan 2027 masing-masing kepada 4.9 peratus dan 4.7 peratus.
Pertumbuhan itu disokong oleh kitaran peningkatan industri semikonduktor manakala pelaburan pusat data mengukuhkan lagi penggunaan dan aktiviti pembinaan.
Unjuran terbaharu itu lebih tinggi berbanding unjuran pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus bagi 2026 dan 4.5 peratus bagi 2027 dalam laporan Tinjauan Pembangunan Asia (ADO) Julai 2026.
Dalam laporan September 2026, ADB menyatakan pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka sederhana sedikit pada separuh kedua 2026 dan pada 2027.
“Konflik Asia Barat mengganggu rantaian bekalan dan meningkatkan harga antarabangsa yang boleh menjejaskan kos domestik sekali gus mengehadkan penggunaan isi rumah dan aktiviti perniagaan. Persekitaran luaran yang tidak tentu akan terus menjejaskan pertumbuhan.
"Pertumbuhan pada 2027 berkemungkinan perlahan lagi berikutan gangguan berkaitan El Nino terhadap pengeluaran tempatan serta tekanan berterusan ke atas kos makanan dan tenaga,” jelasnya.
Inflasi Malaysia berkemungkinan kekal pada 2.0 peratus sepanjang baki 2026 dan bagi 2027, menurut ADO.
Perbelanjaan domestik berkemungkinan kekal mampan, namun tekanan menurun yang semakin ketara boleh mengehadkan pertumbuhan pasaran tenaga kerja dan penggunaan, jelasnya.
Prospek pasaran tenaga kerja sepatutnya disokong oleh sektor pelancongan pada separuh kedua 2026 seiring dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 dan acara Formula Satu yang bakal berlangsung di Sepang, Selangor.
“Pemberian subsidi bahan api dan bantuan tunai yang berterusan kepada isi rumah berpendapatan rendah akan menyokong perbelanjaan isi rumah. Bagaimanapun, harga yang kekal tinggi boleh mengehadkan perbelanjaan isi rumah dan mengekang pertumbuhan penggunaan,” tambahnya.
Selain itu, sektor pembinaan dan pelaburan dijangka kekal kukuh disokong oleh gelombang kedua lonjakan pusat data yang dijangka berlaku pada separuh kedua 2026 apabila syarikat berskala besar mula membangunkan kampus mega di Springhill, Serendah dan Johor.
Sektor berkenaan akan terus mendapat sokongan daripada projek infrastruktur awam utama seperti transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang dan projek air Kerian di Perak dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Laporan itu menyatakan sektor pembuatan dan perdagangan luar dijangka diperkukuh oleh pembangunan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih meluas manakala pertumbuhan dijangka kekal kukuh dengan jualan semikonduktor global diunjur meningkat kepada US$1.5 trilion pada 2026 berbanding US$795.6 bilion pada 2025.
-- BERNAMA