BERITA TERKINI   Anthony Loke kekal dengan pendirian meletak jawatan Menteri Pengangkutan | PRN Melaka: Permohonan undi pos dibuka mulai hari ini, semua permohonan dibuat secara dalam talian - SPR | 

44.5 Hektar Tanaman Tembakau Di Ranau Jana Pendapatan Hampir RM2 Juta Setahun -- Noraini

RANAU, 23 Sept (Bernama) -- Tanaman tembakau bagi produk tembakau hiris dan cerut yang diusahakan oleh 118 pekebun tempatan di kawasan seluas kira-kira 44.5 hektar di sini, dapat menjana pendapatan mencecah hampir RM2 juta setahun.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata hasil pengeluaran tanaman tembakau itu dibeli oleh pemborong tempatan sebelum dipasarkan ke seluruh Sabah.

“Potensinya amat besar sekiranya diurus secara baik dengan penekanan kepada kualiti hasil, teknologi penanaman moden dan rangkaian pasaran lebih luas.

Ad Banner

“Saya berharap industri penanaman tembakau di daerah Ranau akan terus berkembang maju, memberi pulangan menguntungkan kepada para pengusaha dan menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya sewaktu melakukan lawatan kerja ke kawasan tanaman tembakau di sini, hari ini.

Noraini berkata walaupun aspek seperti kawal selia penanaman, pengeluaran dan pemasaran tembakau serta keluaran tembakau di Sabah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, pihak kementerian itu sentiasa terbuka untuk berkongsi kepakaran teknikal, penyelidikan dan pembangunan industri penanaman tembakau di Sabah ni bagi kemajuan sektor itu secara mapan.

Di Semenanjung Malaysia, katanya, aspek kawal selia penanaman, pengeluaran dan pemasaran tembakau serta keluarannya melibatkan fungsi kementerian itu serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara mengikut Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 (Akta 692).

Ad Banner

Tanaman tembakau hiris di Semenanjung Malaysia melibatkan seramai 170 orang penanam dengan keluasan kawasan seluas 103.7 hektar di Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan setakat 31 Ogos lepas.

Hasil pengeluaran adalah sebanyak 78.32 tan dengan harga purata RM20 sekilogram, sekali gus membawa kepada nilai hasil RM1,566,420 (RM1.57 juta), kata beliau.

Noraini berkata dari sudut perdagangan, nilai eksport produk tembakau mencecah RM150.40 juta dan melibatkan negara seperti China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, India, Belize, Singapura, Vietnam, Indonesia, Australia dan Bangladesh.

Pada masa sama, nilai import tembakau dan produk tembakau sebanyak RM427 juta adalah dari Indonesia, Filipina, Switzerland, Hong Kong, Singapura, Jerman, Korea, Cuba, Vietnam, Belgium.

“Walaupun industri tembakau berpotensi tinggi dari segi ekonomi, kerajaan tidak lagi menyalurkan sebarang bantuan dan insentif kepada penanam tembakau selaras dengan komitmen terhadap Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO-FCTC).

“Bagaimanapun, kerajaan menerusi agensi berkaitan tetap komited dalam memberikan khidmat nasihat, kawal selia tanaman tembakau dan keluaran tembakau serta memastikan pematuhan kepada peruntukan yang termaktub di bawah Akta 692,” katanya.

-- BERNAMA