BERITA TERKINI   PM Anwar lulus peruntukan segera RM1 juta untuk kerja baik pulih kritikal di kuarters PDRM Johor | Geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga seluruh negara dinaikkan kepada RM10,000 daripada RM6,000 - PM Anwar | Peruntukan segera RM3.205 juta bagi pelaksanaan 16 projek baik pulih infrastruktur asas institusi pendidikan Islam di Johor. - PM Anwar | Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.1355/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1380/1430 ketika ditutup pada Selasa | PRN Johor: Bekas MB Johor Datuk Seri Hasni Mohammad tidak pertahan kerusi DUN Benut | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Alami Turun Naik Susulan Cuti Panjang

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Dagangan kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami turun naik minggu depan susulan cuti yang panjang, kata peniaga.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies, Jim Teh berkata aktiviti dagangan tidak menentu minggu depan memandangkan kebanyakan peniaga antarabangsa tidak akan memasuki pasaran kerana cuti yang panjang.

Ad Banner

Beliau berkata pasaran mungkin mencatatkan dagangan dalam lingkungan RM4,200 hingga RM4,250 satu tan.

“Sentimen pasaran minggu depan juga akan disokong oleh siasatan pihak berkuasa Indonesia terhadap beberapa pengeksport berhubung dakwaan sengaja mengisytiharkan nilai  yang lebih rendah pada invois rasmi berbanding harga atau nilai sebenar yang telah dipersetujui atau dibayar,” katanya kepada Bernama.

Menurut laporan media, kerajaan Indonesia sedang menyiasat 20 syarikat, dengan tumpuan diberikan kepada 10 syarikat utama, yang semuanya beroperasi dalam industri MSM.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Jim berkata kedudukan stok minyak sawit Malaysia kekal tinggi pada 2.4 juta tan, manakala permintaan fizikal adalah dijangka dari China, India, Pakistan, kalangan negara Timur Tengah, negara anggota Kesatuan Eropah, serta Amerika Syarikat.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, Jun 2026 dan Julai 2026 masing-masing meningkat RM40 kepada RM4,470 dan RM4,503 satu tan, manakala  Ogos 2026 menokok RM49 kepada RM4,535 satu tan.

September 2026 naik RM59 kepada RM4,561 satu tan, Oktober 2026 menambah RM65 kepada RM4,590 satu tan, dan November 2026 meningkat RM68 kepada RM4,620 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 257,062 lot daripada 614,453 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 285,715 kontrak daripada 280,499 kontrak.

Harga fizikal MSM bagi Jun Selatan berada pada RM4,490 satu tan.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin, 1 Jun, dan Selasa, 2 Jun, susulan cuti umum bersempena dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan cuti gantian bagi Hari Wesak.

Dagangan akan disambung semula pada Rabu, 3 Jun.

-- BERNAMA