BERITA TERKINI   Proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan tidak sah kerana tidak patuh kehendak mandatori Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri - AGC | Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan tiada kuasa unilateral tamat atau kosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar - AGC | Pengguna domestik guna elektrik sehingga 800 kWj sebulan diberi pengecualian Pelarasan AFA, Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan - PM Anwar | Kerajaan setuju perluas perlindungan bil elektrik daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan bagi September hingga 31 Dis 2026 - PM Anwar | PM Anwar sifatkan hasil mesyuarat khas isu kenaikan bil elektrik sebagai “good news” | 

Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin apabila data pasaran buruh AS yang lebih kukuh daripada jangkaan menguatkan kemungkinan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengekalkan dasar monetari yang ketat, kata ahli ekonomi.

Oleh yang demikian, keadaan itu seterusnya meningkatkan permintaan terhadap dolar AS.

Ad Banner

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.0715/0760 berbanding dolar AS daripada 4.0280/0320 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit turun sebanyak 1.04 peratus berbanding dolar AS, seiring dengan kebanyakan mata wang Asia yang turut didagangkan rendah berbanding dolar AS.

Beliau berkata harga minyak mentah juga meningkat hari ini berikutan konflik yang berterusan melibatkan AS, Israel dan Iran, yang mendorong penutupan Selat Hormuz.

Ad Banner

Ketika laporan ini dibuat, harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras meningkat 3.77 peratus kepada US$96.60 setong.

“Kadar inflasi yang lebih tinggi dan reaksi pasaran global terhadap keadaan makroekonomi sedemikian akan menjadi faktor utama yang membentuk sentimen pasaran.

“Kadar faedah penanda aras yang lebih tinggi dilihat sebagai penawar kepada pengukuhan mata wang, dan keadaan ini menyebabkan sentimen pasaran menjadi lebih berhati-hati,” katanya kepada Bernama.

Seiring prestasinya berbanding dolar AS, ringgit juga diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama dunia.

Pada akhir dagangan, ringgit mencatatkan prestasi rendah berbanding pound British kepada 5.4249/4309 daripada 5.4233/4287 ketika ditutup pada Jumaat lepas, dan susut berbanding yen Jepun kepada 2.5445/5475 daripada 2.5183/5209.

Bagaimanapun, ringgit naik berbanding euro kepada 4.6867/6919 daripada 4.6882/6928.

Ringgit juga rendah berbanding mata wang serantau ASEAN.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1577/1614 daripada 3.1390/1424 pada Jumaat lepas, dan kurang stabil berbanding baht Thailand kepada 12.3942/4128 daripada 12.3433/3605.

Ringgit susut berbanding peso Filipina kepada 6.60/6.61 daripada 6.55/6.56 minggu lepas, serta kurang stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 223.8/224.2 berbanding 223.3/223.6.

-- BERNAMA