BERITA TERKINI   Surat dakwa Jemaah Menteri lulus cadangan projek PFI untuk pelebaran Lebuhraya PLUS adalah palsu - Pejabat Perdana Menteri | PMO buat laporan polis berhubung pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan nama Perdana Menteri serta identiti rasmi pejabat itu | Presiden Liga Bolasepak Malaysia Datuk Ab Ghani Hassan dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu | 

Serai Group Labur RM15 Juta Bangunkan 'Serai Estate' Di Ipoh, Jadi Hab Operasi F&B Luar Lembah Klang

IPOH, 17 Sept (Bernama) -- Serai Group menyasarkan pembukaan Serai Estate di Ipoh sebagai hab strategik pertama kumpulan itu di luar Lembah Klang menerusi pelaburan kira-kira RM15 juta, sebelum kumpulan itu mengembangkan operasinya ke Pulau Pinang dan Johor.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Serai Group Datuk Mohd Najib Abdul Hamid berkata pembangunan itu merangkumi pelbagai konsep perniagaan F&B serta ruang komuniti dan gaya hidup yang akan dibuka secara berperingkat dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua tahun depan.

“Kita memilih Ipoh sebab saya sukakan suasana dan penampilannya, dan saya nampak potensinya kerana ini pasaran yang belum diterokai sepenuhnya.

Ad Banner

“Ini (Serai Estate) merupakan cawangan pertama kita di luar Lembah Klang dan kita gembira dapat membuka cawangan Serai pertama di Ipoh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Serai Estate di sini hari ini.

Beliau berkata kumpulan itu kini mengendalikan 35 cawangan perniagaan merangkumi 33 cawangan tempatan di Malaysia serta dua cawangan di London di bawah jenama 'Meat Bros' yang berkonsepkan rumah stik halal.

Serai Group turut memegang lesen francais antarabangsa bagi jenama makanan segera dari Korea Selatan, Lotteria, selain mempunyai portfolio jenama tempatan seperti Serai, Jibby Chow, Jibby & Co, Jibby By The Park dan Taffy Gelato.

Ad Banner

Mohd Najib berkata Ipoh dipilih sebagai hab perkhidmatan dan logistik kumpulan kerana kedudukannya yang strategik, sebelum operasi diperluas ke pasaran utara dan selatan Semenanjung.

“Selepas Ipoh, kita merancang untuk pergi ke Pulau Pinang. Jadi, Ipoh akan menjadi hab kita di kawasan ini bagi menyokong pembukaan lebih banyak cawangan di Pulau Pinang,” katanya.

Pembangunan Serai Estate di atas tapak premis berkonsepkan banglo itu mengetengahkan elemen kraftangan tempatan Perak seperti seni kelarai dan tenunan emas, selain menyediakan bilik khas yang dinamakan Labu Sayong dan Kelarai.

Premis itu turut dilengkapi dewan acara ‘Serai Hall’ yang berkapasiti 250 hingga 300 tetamu bagi penganjuran majlis korporat dan perkahwinan.

Mohd Najib berkata Serai Estate menghimpunkan pelbagai konsep F&B, termasuk ‘Orchid House’ bagi sesi minum petang, restoran barbeku gaya Amerika, sajian sarapan berkonsepkan kopitiam, dim sum premium halal di bawah jenama ‘Jibby Chow’, kafe rumah kaca serta cawangan asi krim Taffy Gelato.

“Kita merancang, insya-Allah, semua konsep ini akan dibuka secara berperingkat dan beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua tahun depan,” katanya.

Mengenai perbelanjaan modal RM15 juta bagi pembangunan Serai Estate, beliau berkata sebahagian besar pelaburan itu diperlukan untuk kerja penambahbaikan dan pengubahsuaian infrastruktur mekanikal dan elektrikal (M&E), khususnya bagi memenuhi keperluan voltan tinggi untuk operasi pelbagai konsep restoran di kawasan berkenaan.

Selain Serai Estate yang dibangunkan menerusi kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) Perak, Serai Group turut merancang meneroka pembangunan hotel butik serta projek pelancongan berasaskan alam semula jadi dan perkhemahan di kawasan seluas tiga ekar di Lenggong dalam tempoh dua tahun.

“Kita bukan sahaja merancang mahu meneroka pembangunan dalam Serai Estate, tetapi melalui kerjasama dengan SADC, kita juga merancang memperluas skop pembangunan itu, bukan hanya restoran tetapi mungkin turut merangkumi hotel butik,” katanya.

Serai Group merupakan syarikat hospitaliti milik keluarga yang mengendalikan lebih 20 restoran dengan pelbagai konsep dan sajian, serta komited menawarkan pengalaman yang bermakna kepada pelanggan.

-- BERNAMA