BERITA TERKINI   Surat dakwa Jemaah Menteri lulus cadangan projek PFI untuk pelebaran Lebuhraya PLUS adalah palsu - Pejabat Perdana Menteri | PMO buat laporan polis berhubung pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan nama Perdana Menteri serta identiti rasmi pejabat itu | Presiden Liga Bolasepak Malaysia Datuk Ab Ghani Hassan dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu | 

MATRADE, MDEC Pamer Lima Studio Permainan Di Tokyo Game Show 2026

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menampilkan lima studio permainan Malaysia di Pavilion Malaysia pada acara Tokyo Game Show (TGS) 2026 di Chiba, Jepun, dari 17 hingga 21 September, 2026.

MATRADE dan MDEC dalam satu kenyataan bersama hari ini memaklumkan bahawa syarikat-syarikat yang mengambil bahagian adalah Algoin Tech, Fuloso, Magnus Games Studio, Metropolice dan Vmagery Studio.

Mereka menawarkan pelbagai permainan dan perkhidmatan kreatif digital, termasuk pembangunan permainan dan penciptaan harta intelek (IP) asli diilhamkan oleh warisan budaya unik Malaysia, seni dan animasi permainan dua serta tiga dimensi, serta penyelesaian digital sinematik dan imersif.

Ad Banner

"Pavilion Malaysia akan mengadakan pelbagai libat urus perniagaan menerusi program disusun rapi, termasuk sesi padanan perniagaan bersama rakan kongsi strategik, sekali gus membuka ruang untuk penerbitan, pelesenan, pembangunan bersama, pelaburan dan peluang komersial lain," menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata penyertaan selama 10 tahun di TGS itu mencerminkan kekuatan dan aspirasi Malaysia yang semakin berkembang dalam industri kreatif digital dan permainan global.

Studio-studio permainan dari Malaysia bukan sekadar mempamerkan keupayaan mereka, malah turut mencipta harta intelek asli, menjalin kerjasama antarabangsa dan menyediakan penyelesaian kreatif berdaya saing di peringkat global, katanya.

Ad Banner

"MATRADE telah memudah cara penyertaan lebih 60 syarikat Malaysia di TGS sejak beberapa tahun lepas dan menjana peluang eksport bernilai RM1.31 bilion.

"Justeru, MATRADE akan terus memanfaatkan platform strategik seperti TGS untuk mempercepatkan pengantarabangsaan syarikat Malaysia dan menterjemahkan kekuatan kreatif kita kepada peluang eksport yang mampan," katanya.

Sementara itu, CEO MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata ekosistem pembangunan permainan di Malaysia terus berkembang, disokong oleh kelompok bakat kreatif hebat, keupayaan canggih serta harta intelek asli yang mempunyai daya tarikan antarabangsa.

"TGS menawarkan peluang kepada studio kita untuk mempamerkan kreativiti dan kepakaran teknikal mereka serta membina hubungan bermakna dengan penggiat industri global.

"MDEC kekal komited untuk menyokong bakat dan syarikat Malaysia dalam memperluaskan kehadiran mereka di pasaran antarabangsa," katanya.

Malaysia mempunyai lebih 300 studio pembagunan permainan dan animasi yang disokong oleh kumpulan bakat yang mahir serta mempunyai kebolehan menguasai dan bertutur dalam pelbagai bahasa dan mempunyai keupayaan teknikal yang kukuh.

Sektor berkenaan menjana lebih RM5 bilion setiap tahun melalui eksport, penyumberan luar, pembangunan IP asli dan penghasilan kandungan digital.

-- BERNAMA