BERITA TERKINI   Surat dakwa Jemaah Menteri lulus cadangan projek PFI untuk pelebaran Lebuhraya PLUS adalah palsu - Pejabat Perdana Menteri | PMO buat laporan polis berhubung pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan nama Perdana Menteri serta identiti rasmi pejabat itu | Presiden Liga Bolasepak Malaysia Datuk Ab Ghani Hassan dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu | 

Persidangan WAIC Connect Malaysia Pupuk Kerjasama Dalam Ekosistem AI

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Persidangan WAIC Connect Malaysia 2026 yang ditaja oleh Huawei telah menghimpunkan penyedia teknologi kecerdasan buatan (AI), penggiat industri dan perniagaan untuk meneroka aplikasi praktikal teknologi tersebut serta memupuk kerjasama dalam ekosistem AI.

Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 hingga 8 September itu mendapat sokongan Kedutaan China di Malaysia dan bertemakan “Innovating for a Green and Intelligent Malaysia.”

Ad Banner

Berkaitan dengan Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (WAIC) diadakan baru-baru ini di Shanghai, pameran tersebut menampilkan syarikat AI terkemuka dari China serta pemain industri tempatan dan serantau, sekali gus menyediakan platform bagi perniagaan untuk meneroka teknologi AI, aplikasi industri dan potensi perkongsian strategik.

Pada pameran itu, Huawei mempamerkan infrastruktur pengkomputeran miliknya termasuk Atlas SuperPoD 950 serta platform AI dan keupayaan ekosistem syarikat tersebut.

Huawei turut menghimpunkan rakan kongsi ekosistem merangkumi model AI, platform dan aplikasi industri bagi menunjukkan ekosistem AI yang menyeluruh, ia meliputi infrastruktur pengkomputeran, platform pemboleh model, platform pemboleh ejen AI serta aplikasi ejen AI untuk kegunaan perniagaan.

Ad Banner

Seorang jurucakap Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd berkata WAIC Connect Malaysia bertujuan melangkaui sekadar mempamerkan teknologi individu dengan mewujudkan hubungan merentas ekosistem AI yang lebih luas.

"Tujuan keseluruhan acara ini bukan sekadar mengenai Huawei. Ia sebenarnya mengenai keseluruhan ekosistem.

"Ia bukan sahaja mengenai menyediakan penyelesaian tetapi menghubungkan industri, masyarakat dan perniagaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pameran itu menghimpunkan syarikat-syarikat yang beroperasi pada pelbagai lapisan ekosistem AI, termasuk infrastruktur, model, ejen AI dan aplikasi khusus untuk industri.

Menurut jurucakap itu, pembangunan AI kini semakin beralih ke arah model khusus domain dan ejen khusus direka untuk industri serta fungsi tertentu.

"Ketika ini, ramai pihak menggunakan model umum untuk melaksanakan tugas-tugas yang bersifat umum. "Namun, pada masa hadapan, ia akan menjadi sangat khusus mengikut bidang," katanya.

Beliau berkata sektor-sektor seperti kewangan, kerajaan dan penjagaan kesihatan, model AI boleh dibangunkan dengan lebih meluas untuk aplikasi yang khusus.

Sebagai sebahagian daripada ekosistem lebih luas yang dipamerkan pada acara tersebut, rangkaian vendor perisian bebas (ISV) Huawei menampilkan lapan rakan kongsi daripada sektor kerajaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan kewangan, iaitu Epoint, Digital Hail, AllCam, ULearning, Runda Health, TrustDecision, Farben dan GuidelineX.

Rakan-rakan kongsi ini mempamerkan penyelesaian berkuasa AI dalam bidang seperti perkhidmatan kerajaan, pendidikan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan kewangan dan pendigitalan perusahaan, sekali gus menunjukkan bagaimana teknologi AI boleh diaplikasikan bagi memenuhi keperluan khusus industri.

Pameran itu turut menampilkan lapan rakan kongsi Huawei Cloud, iaitu Minimax, Evomap, fanruan, Xenber, gentech AI, GlobeOSS, T3 Technology dan Udesk.

Penyelesaian mereka merangkumi bidang seperti perkhidmatan perusahaan, perkhidmatan pelanggan pintar, analitik data, pembayaran dan aplikasi AI yang menonjolkan peranan platform awan dalam menyokong perusahaan membangunkan serta memperluas skala perkhidmatan berasaskan AI.

Sementara itu, rakan kongsi WAIC dan syarikat AI China yang sedang mengembangkan operasi ke pasaran luar negara turut menyertai pameran tersebut termasuk iFLYTEK, Deepexi, IOTech Solutions, IPvise, UniGrow, Supervibe, Rongyin, Sovi.AI, Xreal, Runjian, TRANSWARP, CRADLE, Mindappz, Datasaur, HYPERNOLOGY, Kingsoft Office, CMI dan DEEProbotics.

Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian mempamerkan pelbagai teknologi merangkumi model AI, robotik, peranti pintar, perisian perusahaan, kecerdasan data dan aplikasi khusus industri, sekali gus memberikan gambaran yang lebih luas kepada perniagaan di Malaysia mengenai ekosistem AI China sedang berkembang pesat.

-- BERNAMA