BERITA TERKINI   Surat dakwa Jemaah Menteri lulus cadangan projek PFI untuk pelebaran Lebuhraya PLUS adalah palsu - Pejabat Perdana Menteri | PMO buat laporan polis berhubung pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan nama Perdana Menteri serta identiti rasmi pejabat itu | Presiden Liga Bolasepak Malaysia Datuk Ab Ghani Hassan dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu | 

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini berikutan penurunan semalaman di Wall Street didorong oleh harga minyak yang tinggi, hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang meningkat dan kenaikan kadar faedah AS yang mengekang pelabur terhadap aset berisiko. 

Pada 12.30 tengah hari, FBM KLCI menurun 3.30 mata kepada 1,675.91 daripada 1,679.21 points semasa ditutup pada Selasa lepas.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka rendah 1.71 mata kepada 1,677.50 bergerak antara 1,675.42 dan 1,684.92 pada sesi tersebut.

Ad Banner

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 650 berbanding 380 manakala 487 kaunter tidak berubah, 1,339 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.98 bilion saham bernilai RM1.49 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd memaklumkan Wall Street dijangka diniagakan bercampur-campur pada masa akan datang apabila pelabur menilai kenaikan kadar faedah sebanyak 25 mata asas oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS dan ulasan mengenai inflasi.

Ad Banner

“Walaupun dasar monetari yang ketat boleh memberikan kelegaan kepada penilaian pertumbuhan, harga minyak yang tinggi kekal menjadi risiko inflasi,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Fed menaikkan kadar faedah pada Rabu buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga tahun dan memberi petunjuk mengenai kemungkinan kadar faedah dinaikkan lagi pada masa akan datang.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menurun dua sen kepada RM10.40, Public Bank naik satu sen kepada RM4.81. CIMB berkurangan lima sen kepada RM7.75, Tenaga Nasional merosot enam sen kepada RM13.26 dan IHH Healthcare menyusut empat sen kepada RM7.67.

Bagi kaunter paling aktif, Zetrix AI menurun setengah sen kepada 25 sen, AirAsia merosot 11 sen kepada 53 sen dan Capital A berkurangan empat sen kepada 23.5 sen.

Pioneer Heat yang mula disenaraikan di Pasaran ACE naik 7.5 sen kepada 32.5 sen.

Kaunter paling untung ialah Nestle melonjak 72 sen kepada RM90.90 dan IOI Properties naik 14 sen kepada RM3.79.

MN Holdings dan Batu Kawan, masing-masing meningkat 12 sen kepada RM3.66 dan RM20.28 serta UMS Integration dan waran Heng Yuan Refinery, masing-masing menambah 11 sen kepada RM8.10 dan RM2.83.

Kaunter paling rugi ialah F&N menurun 26 sen kepada RM22.86, Hong Leong Industries berkurangan 24 sen kepada RM16.82, Petronas Chemicals merosot 22 sen kepada RM4.98, Panasonic menyusut 21 sen kepada RM5.35 dan Malaysian Pacific Industries menurun 20 sen kepada RM39.50.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 60.05 mata kepada 17,555.60, Indeks FBM Emas menurun 31.88 mata kepada 12,412.05 dan Indeks FBM Top 100 merosot 28.55 mata kepada 12,216.25.

Indeks FBM Emas Shariah menyusut 45.97 mata kepada 12,256.45 dan Indeks FBM ACE merosot 4.70 mata kepada 5,165.25.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 1.26 mata kepada 185.14, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 47.88 mata kepada 19,599.52 dan Indeks Tenaga merosot 3.61 mata kepada 817.77.

Indeks Perladangan menurun 11.16 mata kepada 9,515.04.

-- BERNAMA