BERITA TERKINI   Presiden Liga Bolasepak Malaysia Datuk Ab Ghani Hassan dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu | 

Kekuatan Ekonomi, Demografi ASEAN Tarik Minat Lebih Banyak Pelabur Global - SC

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Kekuatan asas ekonomi dan demografi ASEAN meletakkan rantau ini pada kedudukan yang mampu menarik minat lebih banyak pelabur antarabangsa, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini.

Pengerusinya Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata ASEAN sudah mempunyai skala ekonomi, potensi pertumbuhan dan kepelbagaian yang mampu menarik perhatian lebih banyak pelabur global.

“Kepelbagaian ASEAN merupakan sumber daya tahan dan pertumbuhan bagi rantau yang semakin saling berhubung.

Ad Banner

"Tumpuan kami untuk mengetengahkan landskap pelaburan ASEAN yang terus berkembang, peningkatan daya tarikan rantau ini kepada pelabur global serta potensinya sebagai kelas aset yang bersepadu dan boleh dilaburkan dengan Malaysia sebagai pintu masuk,” jelasnya dalam satu kenyataan.

SC menyatakan ASEAN merupakan sebuah ekonomi bernilai US$4.26 trilion dengan populasi hampir 700 juta orang dan nilai perdagangan barangan sebanyak US$4.37 trilion.

Namun, penglibatan ASEAN dalam portfolio pelaburan global masih kecil berbanding kepentingan ekonomi dan potensi pertumbuhannya.

Ad Banner

SC menganjurkan Jelajah Pelaburan ASEAN yang pertama kalinya di London, United Kingdom awal minggu ini.

Dianjurkan bersama FTSE Russell, acara berkenaan menghimpunkan kira-kira 100 pemegang taruh utama dan peserta pasaran termasuk pelabur institusi, pengurus aset, pengawal selia, syarikat indeks dan pihak media bagi mengetengahkan potensi ASEAN sebagai destinasi pelaburan jangka panjang.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Produk Indeks EMEA bagi Ekuiti & Multi-Aset FTSE Russell merangkap Ketua Global Penyelidikan dan Reka Bentuk Indeks Jamie Perrett berkata skala ekonomi ASEAN yang semakin berkembang akan memainkan peranan yang semakin penting dalam portfolio global.

“Gabungan unik permintaan domestik, kepelbagaian rantaian bekalan dan pembiayaan peralihan di rantau ini dapat melengkapi pendedahan yang lebih luas kepada pasaran sedang pesat membangun.

"Dalam pada itu, pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan di seluruh rantau ini menjadikan pasaran modal ASEAN semakin mudah diakses oleh pelabur global,” katanya.

Diadakan di The Honourable Society of the Inner Temple, satu daripada Inns of Court, sesi jelajah promosi itu bertujuan meningkatkan pemahaman pelabur mengenai peluang pelaburan di ASEAN serta berkongsi perkembangan berterusan yang dilaksanakan bagi meningkatkan kebolehcapaian dan daya tarikan pelaburan di rantau ini.

Acara berkenaan menyokong agenda Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) dan merupakan sebahagian daripada usaha SC untuk menghubungkan modal antarabangsa dengan peluang di seluruh ASEAN selain meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk bagi pengumpulan dana dan pelaburan rantau ini.

-- BERNAMA