Belanjawan 2027: Insentif Bersasar Diperlukan Untuk Menarik Pelabur Institusi Serantau Ke Dalam Ekuiti Malaysia

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Insentif bersasar wajar dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2027 untuk menarik lebih ramai pelabur institusi serantau ke dalam pasaran ekuiti Malaysia, terutamanya saham bermodal sederhana yang kurang dimiliki.

Langkah-langkah ini boleh merangkumi pengurangan cukai pegangan ke atas pendapatan pelaburan ekuiti Malaysia atau pemberian rebat cukai tertakluk kepada tempoh pelaburan minimum.

Ad Banner

Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd, Kenneth Leong berkata perkara ini amat penting memandangkan pegangan ekuiti asing kekal hampir pada paras terendah, iaitu hanya 18.4 peratus pada Julai 2026.

“Ketika ni, pelabur institusi asing kebanyakannya menumpukan pelaburan dalam saham permodalan besar seperti bank, syarikat telekomunikasi, perladangan dan utiliti.

“Sementara itu, saham permodalan sederhana yang kurang mendapat perhatian pelabur kebanyakannya didagangkan dalam kalangan peserta dagangan tempatan; sesetengah saham ini berpotensi mencatatkan pertumbuhan pendapatan kukuh dan berkembang menjadi saham permodalan besar pada masa depan,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner

Leong berkata Belanjawan 2027 juga wajar mempertimbangkan langkah-langkah untuk memperkukuh analisis penyelidikan dan libat urus pelabur bagi saham permodalan sederhana dan kecil.

Beliau berkata insentif bersasar yang serupa dengan Bursa Research Incentive Scheme Plus (Bursa RISE+) sekarang, boleh dipertimbangkan untuk menggalakkan broker membuat kajian terhadap saham bermodal kecil dan sederhana terpilih.

“Pertimbangkan insentif untuk memperluas liputan penyelidikan, akses korporat dan aktiviti perhubungan pelabur yang disasarkan kepada syarikat bermodal sederhana dan kecil kurang mendapat kajian kerana aliran maklumat lebih baik dapat menambah baik penetapan harga, mudah tunai dan penilaian,” katanya.

Selain itu, Leong turut menggesa supaya kos dagangan dikurangkan bagi meningkatkan kecairan pasaran.

Beliau berpendapat bahawa pengurangan duti setem, yuran penjelasan dan kos transaksi lain boleh menggalakkan penyertaan yang lebih besar serta meningkatkan kecairan dagangan Bursa Malaysia.

“Bagi urus niaga saham biasa, kos terlibat ialah duti setem sebanyak 0.1 peratus daripada nilai urus niaga (dengan had maksimum RM1,000 setiap kontrak), yuran penjelasan sebanyak 0.03 peratus daripada nilai urus niaga (dengan had maksimum RM1,000 setiap kontrak) serta yuran pembrokeran yang berbeza-beza mengikut broker,” katanya.

Belanjawan 2027 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober, 2026.

-- BERNAMA