Kesan Susulan Krisis Tenaga Global Mula Beri Impak Kepada Harga Gas Asli, Arang Batu - Akmal Nasrullah
JOHOR BAHRU, 17 Sept (Bernama) -- Gangguan bekalan tenaga global kini menunjukkan kesan susulan apabila impak yang sebelum ini tertumpu pada pasaran petrol bermula Mac lepas mula merebak kepada bekalan tenaga lain seperti gas asli dan arang batu.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata fenomena kesan susulan itu mula memberi implikasi secara langsung kepada kos pengeluaran tenaga elektrik terutamanya kepada pengguna yang mencatatkan penggunaan melebihi 600 kilowatt-jam (kWh) sebulan.
“Cuma pada masa yang sama, bagi pengguna yang menggunakan lebih 600 kWh, impak daripada gangguan bekalan tenaga global mempunyai kesan susulan. Pada Mac lepas, kesan yang paling ketara adalah (terhadap harga) petrol.
“Seterusnya, ketika ini kita dapat lihat kesan itu sudah merebak kepada bekalan tenaga lain termasuk harga gas asli, arang batu dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serahan Cek Cura Klinik Kesihatan Parlimen Johor Bahru di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.
Mengenai mekanisme penyelarasan tarif, Akmal Nasrullah berkata penentuan harga bagi kelompok penggunaan tinggi dipengaruhi oleh perubahan kos bahan api global melalui mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).
“Cuma naik turun yang melibatkan pengguna dengan penggunaan lebih daripada 600 kWh itu berdasarkan kos bahan api yang dipanggil AFA yang mencerminkan harga bahan api itu.
“Itu yang menjadi cabaran kepada kita kerana kesan susulan daripada gangguan bekalan tenaga yang bermula dengan petrol, kini semakin dirasai untuk bekalan tenaga sektor lain termasuk gas asli,” katanya.
Katanya fenomena kesan susulan bagi gas asli biasanya mengambil masa tiga hingga empat bulan sebelum memberi impak kepada tarif elektrik semasa.
“Gas asli merupakan bahan api yang dibakar untuk menghasilkan tenaga. Apabila kesan bahan api ini mula dilihat pada peringkat global, biasanya apabila berlaku kenaikan (harga) petrol, ia akan ada kesan susulan (untuk tempoh) tiga hingga empat bulan sebelum gas asli turut terkesan.
“Apabila perbincangan hari ini merujuk kepada penggunaan tenaga pada Julai dan Ogos, ia mengambil kira kepada sebelumnya. Bahan api itu bahan yang dibakar untuk menghasilkan tenaga elektrik, kadarnya telah meningkat,” katanya.
Meskipun wujud tekanan kos bahan api daripada kesan susulan itu, katanya kaedah penetapan tarif semasa masih mampu melindungi majoriti pengguna domestik berskala kecil daripada terjejas secara langsung.
“Sudah pasti mekanisme yang dinilai oleh Perdana Menteri, mungkin ada ruang lain yang boleh kita teliti kerana berdasarkan kaedah tarif yang ada ketika ini, majoriti pengguna dengan penggunaan di bawah 600 kWh sebenarnya tidak menerima impak secara langsung dari segi harga bekalan atau kos bahan api.
“Kita tahu bahawa dari segi struktur tarif yang ada, kadar tarif untuk mereka yang menggunakan di bawah 600 kWh untuk tempoh sebulan, kosnya adalah tidak berubah,” katanya.
Bagi menangani kesan rantaian krisis tenaga global itu, beliau memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan satu mesyuarat khas bagi menilai semula kedudukan tarif demi mengurangkan beban rakyat.
“Saya difahamkan Perdana Menteri telah menyatakan keperluan untuk beliau memanggil satu mesyuarat khas hari ini untuk menilai, menimbang dan mengambil maklum perkara yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata faktor cuaca semasa yang kurang baik secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan volum penggunaan tenaga harian.
“Kita tahu dengan keadaan semasa, apabila cuaca kurang baik, kita telah dinasihatkan untuk berada di dalam bangunan atau di tempat yang lebih selamat tetapi itu juga mungkin membawa kepada penggunaan tenaga yang lebih tinggi,” katanya.
-- BERNAMA