BERITA TERKINI   ICJ putuskan Myanmar bertanggungjawab lakukan genosid semasa operasi ketenteraan di utara Negeri Rakhine | Kerjasama dalam sektor mineral dengan Perancis bertujuan bangunkan rantaian nilai mampan, bukan serahkan eksklusif unsur nadir bumi negara kepada mana-mana pihak - Sim | MITI kaji cadangan tambah baik perjanjian pelaburan Malaysia-Taiwan - Sim | 

MNRB Catat Untung Bersih Suku Kedua RM95.61 Juta, Isytihar Dividen 15 Sen

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd (MNRB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM95.61 juta pada suku kedua berakhir pada 30 September 2026, berbanding RM112.26 juta pada suku yang sama tahun lepas. 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia menyatakan bahawa perolehan meningkat kepada RM981.24 juta berbanding RM927.57 juta setahun sebelumnya, iaitu kenaikan kira-kira RM53.67 juta atau 5.8 peratus, didorong terutamanya oleh hasil insurans dan takaful yang lebih tinggi merentasi semua segmen perniagaan, khususnya perniagaan takaful keluarga dan takaful semula.

Bagi tempoh enam bulan yang berakhir pada 30 September, ia merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM279.37 juta berbanding RM280.69 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala perolehan meningkat kepada RM1.98 bilion daripada RM1.90 bilion sebelumnya.

Ad Banner
Ad Banner

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat insurans semula dan takaful semula itu menjelaskan bahawa ia kekal optimis tetapi berhati-hati terhadap prospeknya dalam separuh pertama tahun kewangan ini, yang berakhir pada 31 Mac 2027 (TK2027)

“Di dalam pasaran yang sangat kompetitif, kumpulan ini akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perniagaan terasnya dan merebut peluang pertumbuhan terpilih di Malaysia dan pasaran antarabangsa.

“Semua keutamaan ini merupakan sebahagian daripada usaha transformasi MNRB yang lebih meluas untuk membina kumpulan insurans semula dan takaful semula yang lebih fokus serta berdaya saing,” menurut syarikat itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut MNRB, syarikat itu menyasarkan untuk tersenarai dalam kalangan lima kumpulan insurans semula dan takaful semula terbaik di Asia dalam tempoh lima tahun, dengan memanfaatkan kedudukannya di Malaysia serta mengembangkan jangkauannya di peringkat serantau dan antarabangsa.  

“Oleh itu, bagi menyokong aspirasi ini, MNRB akan melabur dalam bakat, keupayaan pakar, teknologi dan analisis data, sambil mengekalkan penajajaminan berdisiplin, daya tahan kewangan dan peruntukan modal yang berhemat,” menurut syarikat itu lagi.

Dalam pada itu, syarikat tersebut mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 15 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan 2027, yang mana lima sen sesaham atau 33.3 peratus akan tertakluk kepada pelan pelaburan semula dividennya.

Tarikh kelayakan ialah 30 Oktober 2026, manakala pembayaran akan dibuat pada 25 November 2026.

-- BERNAMA