BMI Semak Semula Unjuran Harga MSM 2026 Kepada RM4,382 Satu Tan
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- BMI, sebuah syarikat di bawah FitchSolutions menyemak semula unjuran purata harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) bagi 2026 kepada RM4,382 satu tan daripada RM4,453 satu tan, mencerminkan prestasi harga yang lebih rendah daripada jangkaan pada suku keempat 2026.
Menurut BMI, ketidaktentuan harga MSM meningkat dengan ketara sejak pertengahan September, dengan harga menurun kepada RM4,200 satu tan pada 12 Oktober sebelum meningkat semula kepada RM4,595 satu tan pada 20 Oktober.
Ini berdasarkan petunjuk pasaran yang berbeza apabila optimisme terhadap bekalan Malaysia dalam tempoh terdekat dan penurunan dalam pasaran minyak makan mengimbangi permintaan yang menyokong dan risiko yang meningkat berkaitan cuaca.
“Kami menjangka harga minyak sawit kekal tidak menentu tetapi secara amnya berada dalam julat yang terhad sepanjang baki tahun 2026, dengan purata RM4,286 satu tan pada suku keempat.
“Paras inventori minyak sawit Malaysia yang tinggi dan permintaan dari India sempena musim perayaan yang semakin berkurangan dijangka mengehadkan potensi kenaikan harga dalam tempoh terdekat manakala risiko berkaitan fenomena El Niño dan permintaan asas yang kukuh dijangka mengehadkan ruang untuk penurunan seterusnya,” menurutnya dalam laporan bertarikh 18 November.
BMI menjangka harga akan pulih secara berperingkat pada 2027, meningkat daripada purata RM4,270 satu tan pada suku pertama 2027 kepada RM4,503 satu tan pada suku keempat 2027, dengan unjuran purata tahunan sebanyak RM4,385 satu tan.
Ketersediaan bekalan untuk eksport Indonesia yang terhad dan risiko pengeluaran berkaitan fenomena El Niño dijangka menyokong harga pada separuh pertama 2027 manakala inventori Malaysia yang berkurangan dan permintaan bermusim yang meningkat dari India akan menjadi pemacu yang penting pada separuh kedua 2027.
Mengenai prospek bekalan, BMI mengunjurkan pengeluaran minyak sawit global merosot sebanyak 3.1 peratus tahun ke tahun kepada 78.9 juta tan pada musim 2026/2027, mencerminkan jangkaan pengeluaran yang rendah di Indonesia dan Malaysia.
“Bagaimanapun, kami berpendapat risiko terhadap unjuran ini masih cenderung ke arah penurunan berikutan impak daripada fenomena El Niño terhadap pengeluaran minyak sawit mengambil masa untuk dirasai dan kesan keseluruhannya masih belum jelas.
“Dengan Indonesia dan Malaysia menyumbang lebih 80 peratus daripada eksport minyak sawit global, gangguan cuaca di kedua-dua negara itu boleh menjejaskan bekalan minyak sawit dunia dengan ketara,” menurutnya.
Mengenai bekalan Malaysia, BMI memaklumkan paras inventori yang tinggi akan terus mengehadkan kenaikan harga dalam tempoh terdekat, dengan stok akhir bagi Oktober mencecah 2.3 juta tan, meningkat 56.8 peratus tahun ke tahun, meskipun prestasi eksport kekal kukuh.
Peningkatan stok yang berterusan walaupun eksport dicatatkan tinggi menunjukkan kedudukan bekalan dalam tempoh terdekat yang baik, menyediakan penampan terhadap kebimbangan mengenai pengeluaran akibat cuaca dan permintaan asas yang kukuh.
“Oleh itu, kami menjangka inventori akan kekal sebagai kekangan utama terhadap harga sehingga suku pertama 2027.
“Kami menjangka penampan ini akan berkurangan secara berperingkat apabila pengeluaran berada pada paras yang rendah berikutan faktor bermusim sehingga separuh pertama 2027 dan permintaan berterusan akan mengurangkan paras inventori,” menurutnya.
-- BERNAMA