Pasaran Getah Kuala Lumpur Ditutup Lebih Rendah
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih rendah pada Khamis, seiring dengan penurunan di pasaran niaga hadapan getah serantau, di tengah-tengah permintaan hiliran yang lemah dan jangkaan peningkatan bekalan getah dari Thailand, kata seorang peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran semakin terjejas akibat peningkatan jangkaan terhadap dasar monetari Amerika Syarikat (AS) yang lebih ketat, di tengah-tengah tekanan inflasi global yang berterusan.
“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh harga minyak mentah yang stabil, peningkatan jualan kenderaan elektrik di Eropah dan pengembangan pengilang automotif China ke pasaran luar negara,” katanya kepada Bernama.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) merosot sebanyak 16.5 sen kepada 976.5 sen sekilogram manakala lateks pukal menyusut sebanyak 4.5 sen kepada 760 sen sekilogram.
-- BERNAMA