Xi Jinping Gesa Ekonomi APEC Perkukuh Empat Tonggak Kerjasama Serantau
Daripada Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi
SHENZHEN (China), 19 Nov (Bernama) - Presiden China Xi Jinping hari ini menggesa ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) untuk memperkukuh solidariti, keterbukaan ekonomi, inovasi, dan pembangunan inklusif bagi merealisasikan visi membina komuniti yang lebih kuat dan mampan.
Beliau berkata kerjasama serantau perlu dipertingkat sebagai tindak balas terhadap perubahan ketara global yang didorong oleh perkembangan pesat dalam bidang sains, teknologi, dan industri, serta peluang baharu dan cabaran yang semakin kompleks.
Katanya, rantau Asia-Pasifik telah mencapai kemajuan ketara sejak penubuhan APEC lebih 30 tahun lalu, sekali gus mewujudkan apa yang disifatkan beliau sebagai satu keajaiban Asia-Pasifik yang dicirikan oleh pertumbuhan ekonomi pesat.
“Ekonomi APEC mesti bergerak ke hadapan sebagai satu komuniti dengan memperluas kepentingan bersama, menangani cabaran secara kolektif, serta memastikan kerjasama serantau kekal terbuka dan bersepadu, dan bukannya bersifat eksklusif atau berpecah-belah,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 di sini, hari ini.
Xi menggariskan empat tonggak utama yang perlu diperkukuh bagi memajukan integrasi dan daya saing serantau iaitu ekonomi dan perdagangan, kesalinghubungan, inovasi, serta pembangunan.
Dari segi ekonomi dan perdagangan, beliau menekankan kepentingan untuk mencapai kemajuan kukuh ke arah merealisasikan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP), termasuk mengurangkan halangan perdagangan dan pelaburan serta memperkukuh fasilitasi perdagangan dan pendigitalan.
Mengenai aspek kesalinghubungan, Xi menggesa penambahbaikan terhadap infrastruktur fizikal, melaksanakan penyelarasan dasar dan peraturan yang lebih padu, serta mengukuhkan kerjasama pembayaran rentas sempadan bagi memastikan rantaian industri dan rantaian bekalan kekal stabil dan tidak terganggu.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan untuk mempermudah urusan perjalanan antara negara dan menggalakkan pertukaran budaya bagi memperkukuh hubungan antara rakyat.
Mengenai inovasi, beliau berkata ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) merupakan pemacu pertumbuhan utama, justeru, terdapat keperluan untuk mengukuhkan infrastruktur digital, menambah baik tadbir urus data dan memudahkan aliran data rentas sempadan yang selamat.
Bagi tonggak pembangunan, Xi menyeru agar kerjasama diperkukuh dalam aspek keterjaminan tenaga dan makanan, pembangunan kemahiran, pemerkasaan ekonomi wanita, serta pertukaran bakat belia, di samping memperluas inisiatif hijau dan rendah karbon bagi mencapai pertumbuhan mampan.
Sementara itu, Presiden China itu turut mengumumkan negara itu akan menyumbangkan US$20 juta (US$1 = RM4.11) bagi menyokong kerjasama praktikal APEC, serta menubuhkan Pusat Kajian Komuniti Asia-Pasifik di Shenzhen untuk memperkukuh penyelidikan dasar dan pertukaran.
China juga akan mewujudkan institusi kerjasama dalam bidang teknologi digital, aliran data rentas sempadan, tenaga bersih, serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan antara pemimpin daripada ekonomi anggota yang menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Pemimpin hari ini, bagi membincangkan keutamaan ekonomi serantau serta kerjasama dalam menghadapi cabaran global.
APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota di Lingkaran Pasifik yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia-Pasifik, yang merangkumi hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global, dan lebih daripada 60 peratus ekonomi global.
Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC. Anggota lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.
China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertai pada 1993. Chile menyertai pada 1994, dan pada 1998, Peru, Rusia serta Vietnam turut menyertai, menjadikan jumlah keahlian penuh seramai 21.
-- BERNAMA