Modal Harus Jana Manfaat Ekonomi Lebih Meluas, Sokong Generasi Masa Depan - Fadillah
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Modal harus menjana manfaat ekonomi yang lebih luas dengan pelaburan dalam tenaga boleh baharu (TBB), inovasi dan kelestarian menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta generasi akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, ekonomi akan mengalami perubahan apabila modal disalurkan ke dalam pembinaan loji janakuasa, kilang, talian penghantaran serta bidang inovasi.
Beliau memberitahu, modal pada hakikatnya merupakan satu mekanisme, bukannya matlamat akhir.
Katanya, pelaburan dalam TBB bukan sahaja mampu menjana elektrik, malah dapat membekalkan tenaga kepada sekolah, menyokong industri dan memastikan kelangsungan sesebuah komuniti.
“Pelaburan dalam inovasi bukan sahaja mampu memperkukuh perniagaan, malah dapat membuka peluang kepada anak muda Malaysia untuk membina masa depan yang lebih baik.
“Pelaburan dalam kelestarian hari ini pula mungkin membawa manfaat yang tidak sempat kita saksikan sepenuhnya tetapi akan diwarisi oleh generasi akan datang. Bagi saya, itulah makna sebenar modal yang mempunyai tujuan,” katanya menerusi ucaptama pada MBSB Sustainability Future Capital Summit 2026 hari ini.
Beliau memaklumkan, perkembangan sepanjang 2026 menunjukkan bahawa keterjaminan tenaga bukan lagi sekadar isu teknikal atau alam sekitar sebaliknya telah menjadi keutamaan strategik ekonomi.
Fadillah turut menegaskan bahawa peningkatan permintaan, ketidaktentuan geopolitik dan rantaian bekalan yang tidak menentu menunjukkan betapa terdedahnya ekonomi apabila aspek daya tahan diabaikan.
Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia telah menetapkan komitmen untuk mencapai 70 peratus kapasiti terpasang TBB menjelang 2050 serta mencapai pelepasan sifar karbon seawal 2050.
“Matlamat ini sering digambarkan sebagai sasaran iklim. Saya berpendapat kita juga perlu mengiktirafnya sebagai sasaran pembinaan negara. Setiap projek TBB memperkukuh keterjaminan tenaga kita. Setiap pelaburan dalam grid memperkukuh daya tahan ekonomi kita,” katanya.
Belanjawan 2027 memperuntukkan kira-kira RM17 bilion bagi pelaburan dan inisiatif pembiayaan termasuk RM15 bilion untuk memperkukuh grid elektrik negara serta RM1 bilion bagi projek penyimpanan tenaga dan hibrid.
Dalam pada itu, peruntukan RM1 bilion pula melalui Dana Iklim Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bagi pelaburan bertumpu kepada iklim.
Sementara itu, Pelan Induk Pasaran Modal Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menetapkan sasaran untuk menggerakkan pembiayaan mampan berjumlah RM90 bilion hingga RM100 bilion menjelang 2030.
Fadillah berkata, Malaysia menghasilkan hampir 39,000 tan sisa setiap hari dan 60 juta tan biojisim setahun.
Ini sekali gus membuka peluang untuk penyingkiran karbon, penghasilan produk TBB serta pembangunan rantaian nilai baharu melalui penggunaan teknologi, pembiayaan dan kerjasama yang tepat.
“Modal akan menentukan kelajuan dan kejayaan peralihan tenaga.
“Oleh itu, institusi kewangan memikul tanggungjawab yang melangkaui penyediaan pembiayaan. Melalui keputusan mereka, institusi kewangan mempengaruhi sektor industri yang berkembang, teknologi yang dimajukan serta perniagaan yang diberi peluang untuk melakukan perubahan,” katanya.
Bertemakan “Modal Bermatlamat: Membiayai Masa Depan Lestari”, sidang kemuncak itu menyaksikan Fadillah melancarkan Transition Finance Advantage Financing Programme bernilai RM500 juta.
Beliau turut melancarkan TRACE iaitu Platform Penasihatan Ekonomi Kitaran Islam untuk Perniagaan hasil kerjasama MBSB Bank dengan Universiti INCEIF serta Nature-Based Decarbonisation Partnership antara MBSB Bank, Wild Asia dan HyveGeo.
-- BERNAMA