BERITA TERKINI   Hubungan diplomatik baik, hasil kerja teliti Wisma Putra antara faktor Malaysia dipilih anggotai semula Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) - Fahmi | Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.9 peratus pada Oktober 2026 daripada 1.8 peratus pada September 2026 -- DOSM | Onn Hafiz zahir penghargaan kepada PM Anwar, Kerajaan Persekutuan atas peruntukan RM4.86 bilion kepada Johor menerusi RMK13 | Belanjawan Johor 2027: Penjawat awam Johor terima insentif khas dua bulan setengah gaji - Onn Hafiz | 654 projek Reformasi Kerenah Birokrasi siap, menjana penjimatan kos pematuhan RM3.71 bilion setakat 30 Okt - MITI | 

RTS Link: Permintaan, Pembelian Hartanah Rakyat Singapura Di Johor Dijangka Meningkat

Oleh Nur Fadhliana Shaari

JOHOR BAHRU, 18 Nov (Bernama) -- Permintaan dan pembelian hartanah oleh rakyat Singapura di Johor Bahru dan Iskandar Puteri dijangka meningkat susulan beroperasinya Sistem Transit Rapid (RTS) Link pada Feb depan yang bakal memperkukuh kesalinghubungan antara Johor Bahru dengan Singapura.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Johor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property (Wilayah Selatan) dan Sunway City Iskandar Puteri Gerard Soosay berkata RTS Link itu berpotensi mengubah persepsi rakyat Singapura terhadap Johor Bahru, daripada sekadar destinasi kunjungan kepada lokasi yang praktikal untuk melabur atau memiliki rumah kedua.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata minat dalam kalangan pembeli Singapura semenjak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini amat menggalakkan, namun mereka kini lebih selektif dengan mengambil kira faktor kemampuan memiliki hartanah dan persekitaran kediaman yang menawarkan kemudahan pendidikan antarabangsa, penjagaan kesihatan, peruncitan dan rekreasi.

"Pertanyaan tidak semestinya diterjemahkan kepada pembelian serta-merta. Sesetengah pembeli mungkin memilih untuk menunggu sehingga RTS Link mula beroperasi sepenuhnya sebelum membuat keputusan.

"Bagaimanapun, minat itu memang wujud dan kami percaya dengan meningkatnya kesalinghubungan serta pertumbuhan ekonomi Johor akan memberikan keyakinan lebih besar kepada pembeli untuk membuat komitmen," katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

REHDA menjangkakan permintaan terhadap hartanah akan meningkat, khususnya bagi hartanah yang mempunyai akses mudah ke stesen RTS Link, meskipun kadar peningkatan sebenar atau peratusan masih terlalu awal untuk diunjurkan, jelas beliau.

Menurut Soosay, sebahagian pembeli sudah mula memasuki pasaran sebagai persediaan menjelang pengoperasian perkhidmatan itu, manakala sebahagian lagi dijangka menilai sendiri kemudahan perjalanan yang ditawarkan sebelum membuat keputusan pembelian.

Beliau berkata impak jangka panjang RTS Link terhadap pasaran hartanah juga perlu dilihat bersama perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka mewujudkan permintaan tambahan daripada golongan profesional, komuniti perniagaan dan isi rumah yang ingin bertapak di Johor.

"Tahun pertama operasi RTS Link akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai perubahan corak perjalanan ulang-alik dan pilihan pembeli, sekali gus membolehkan kami menilai kesan jangka panjangnya terhadap pasaran dengan lebih baik," katanya.

Ketika ditanya mengenai kepentingan segmen pembeli Singapura berbanding pembeli tempatan, beliau berkata pembeli domestik kekal sebagai tunjang utama pasaran hartanah kediaman di Johor, manakala pembeli dari Singapura merupakan segmen penting yang berpotensi memperluas asas permintaan pasaran.

Beliau dalam pada itu juga berkata kemudahan RTS Link turut memberi kelebihan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi memilih untuk menetap di Johor, selain membuka lebih banyak pilihan kepada keluarga dan pesara untuk memiliki kediaman jangka panjang atau rumah kedua.

"Johor sememangnya menawarkan kelebihan dari segi keluasan ruang kediaman, kemampuan memiliki hartanah dan gaya hidup. RTS Link akan memudahkan pembeli menikmati kelebihan ini sambil mengekalkan hubungan rapat dengan Singapura.

"Apa yang benar-benar kami harapkan adalah untuk orang ramai melihat Johor sebagai tempat membina kehidupan, mengembangkan perniagaan dan menyumbang kepada ekonomi tempatan," tambahnya.

-- BERNAMA