BERITA TERKINI   Onn Hafiz zahir penghargaan kepada PM Anwar, Kerajaan Persekutuan atas peruntukan RM4.86 bilion kepada Johor menerusi RMK13 | Belanjawan Johor 2027: Penjawat awam Johor terima insentif khas dua bulan setengah gaji - Onn Hafiz | 654 projek Reformasi Kerenah Birokrasi siap, menjana penjimatan kos pematuhan RM3.71 bilion setakat 30 Okt - MITI | Belanjawan Johor 2027: Pengamal media terima manfaat Bantuan Kasih Johor RM1,000 seorang -- Onn Hafiz | Johor bentang Belanjawan 2027 berjumlah RM3.07 bilion, unjuran lebihan RM2.33 juta | 

Johor Bentang Belanjawan 2027 Berjumlah RM3.07 Bilion

ISKANDAR PUTERI, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor hari ini membentangkan Belanjawan 2027 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.07 bilion dan unjuran lebihan sebanyak RM2.33 juta.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata belanjawan itu mengunjurkan hasil negeri sebanyak RM3.076 bilion berbanding perbelanjaan RM3.074 bilion.

Katanya sebanyak RM1.53 bilion atau 49.77 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan diperuntukkan bagi pembangunan, meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM600 juta atau 34.6 peratus pada 2023.

Ad Banner
Ad Banner

“Peningkatan ini mencerminkan kesungguhan dan keupayaan kerajaan negeri untuk terus memacu agenda pembangunan negeri dan memperkukuh infrastruktur,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata prestasi kewangan negeri terus menunjukkan perkembangan positif apabila kutipan hasil Johor setakat pagi ini mencecah RM2.8 bilion, bersamaan 110 peratus daripada anggaran asal.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Katanya kerajaan negeri menjangka hasil Johor melepasi RM3 bilion buat kali pertama dalam sejarah menjelang akhir tahun ini, sekali gus membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada golongan memerlukan.

Sementara itu, beliau berkata ekonomi Johor terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan apabila kadar pertumbuhan meningkat daripada 4.1 peratus pada 2023 kepada lapan peratus pada 2025, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM170.9 bilion atau hampir 10 peratus daripada KDNK negara.

Onn Hafiz berkata nilai pelaburan diluluskan turut meningkat 2.6 kali ganda daripada RM43 bilion kepada RM110 bilion pada 2025 manakala bagi sembilan bulan pertama tahun ini, Johor sekali lagi merekodkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi di Malaysia berjumlah RM99.7 bilion.

Beliau berkata jumlah peluang pekerjaan turut meningkat daripada 19,000 kepada lebih 24,000 manakala kadar pengangguran kekal rendah pada 2.3 peratus pada 2025.

Belanjawan Johor 2027 yang bertemakan “Johor Maju, Rakyat Sejahtera” itu menggariskan 284 tekad berlandaskan Enam Teras Maju Johor bagi meneruskan momentum pembangunan serta memastikan kemajuan ekonomi negeri memberi manfaat kepada rakyat.

-- BERNAMA