BERITA TERKINI   Tiada ujian Sistem Amaran Awal Nasional di KL, Selangor, Pahang dan Kelantan hari ini - MCMC | 

Anwar Sampaikan Kenyataan Negara Pada Mesyuarat Pemimpin APEC, Adakan Pertemuan Perniagaan

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

SHENZHEN (China), 19 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33 hari ini, yang menjadi platform kepada para pemimpin membincangkan keutamaan ekonomi serantau serta memperkukuh kerjasama dalam mendepani cabaran global.

Anwar akan menghadiri mesyuarat itu di Pusat Komunikasi Antarabangsa Shenzhen (SICC), dengan setiap ekonomi peserta diperuntukkan masa lima minit untuk menyampaikan Kenyataan Negara masing-masing.

Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun, giliran penyampaian kenyataan itu masih belum diumumkan oleh pihak penganjur.

Mesyuarat itu menyediakan ruang kepada para pemimpin untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan ekonomi serantau, memperkukuh integrasi ekonomi serta memperluas kerjasama dalam kalangan 21 ekonomi anggota APEC.

Penyertaan Anwar mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, memperkukuh kesalinghubungan serantau serta meningkatkan kerjasama bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi global.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada sebelah petang, beliau turut dijadualkan mengadakan beberapa pertemuan perniagaan secara bersemuka dengan wakil syarikat, termasuk Yinson Holdings Bhd, Mayland Group dan Boeing.

Pertemuan itu merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia untuk memperkukuh hubungan pelaburan serta meneroka peluang kerjasama dalam sektor strategik.

Anwar turut dijadualkan mengadakan sidang media pada petang ini bagi mengulas penyertaan beliau dalam mesyuarat berkenaan serta hasil perbincangan APEC.

Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 mencerminkan komitmen negara terhadap dialog serantau, kerjasama ekonomi dan pengukuhan hubungan strategik dalam menghadapi landskap ekonomi global yang semakin kompleks.

Mesyuarat itu berlangsung di Shenzhen, China. Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC sejak penubuhan forum itu pada 1989.

APEC ialah forum antara kerajaan yang dianggotai 21 ekonomi di Lingkaran Pasifik, bertujuan menggalakkan perdagangan dan pelaburan bebas serta terbuka di rantau Asia Pasifik. Forum itu mewakili kira-kira tiga bilion penduduk dan 61.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global pada 2025.

-- BERNAMA