BERITA TERKINI   JPN Perak sahkan pelajar Tingkatan 3 ditemui maut di sebuah sekolah, arah sekolah beri kerjasama penuh kepada polis | Projek tenaga boleh baharu yang dirancang menerusi program LSS dan CRESS dijangka menambah sekitar 10,000 hingga 11,000 MW kapasiti menjelang 2030 -- PETRA | PETRA, Suruhanjaya Tenaga teliti cadangan pelarasan bahan api automatik berperingkat bagi 2027, pastikan agihan kos bahan api lebih saksama | Penggunaan air bagi pusat data di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan diunjur mencecah 445.04 juta liter sehari menjelang 2030 --PETRA | Margin rizab elektrik bagi tempoh 2027 hingga 2035 diunjurkan pada paras 24 hingga 27 peratus berdasarkan mesyuarat JPPPET pada 11 November lepas -- PETRA. | 

Kerajaan Perkukuh Industri Hiliran Getah Melalui R&D, Pengkomersialan -- KPK

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menegaskan komitmennya untuk memperkukuh industri hiliran getah bernilai tinggi menerusi pelbagai inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan serta pemindahan teknologi bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Kementerian itu memberitahu, inisiatif berkenaan merangkumi pengkomersialan getah asli termaju, pembangunan teknologi turapan jalan raya Bitumen Terubah Suai Getah Bekuan (CMB) dan teknologi galas getah seismik beredaman tinggi bagi perlindungan gempa bumi.

KPK juga turut melaksanakan pembangunan RRIMPAINT iaitu cat dalaman berasaskan lateks getah asli, teknologi berasaskan ekonomi kitaran termasuk penggunaan karbon hitam pulih serta penerokaan produk baharu seperti kulit vegan.

Ad Banner
Ad Banner

“Selain itu, LGM turut menyediakan khidmat nasihat teknikal, latihan dan pemindahan teknologi bagi menggalakkan pengkomersialan hasil R&D.

“Majlis Getah Malaysia (MRC) pula menyokong pembangunan industri hiliran melalui program pembangunan pasaran dan teknousahawan bagi membimbing usahawan menceburi industri ini sehingga mampu beroperasi secara berdikari,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang dimuat naik menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.

KPK memaklumkan demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai strategi kerajaan untuk memperkukuh industri hiliran getah bernilai tinggi dan meningkatkan penggunaan getah tempatan supaya pertumbuhan eksport produk getah turut memberi pulangan dari segi harga dan permintaan yang lebih baik kepada pekebun kecil.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut kementerian itu, inisiatif berkenaan dijangka meningkatkan penggunaan getah asli tempatan dalam aplikasi bernilai tinggi, memperkukuh rantaian nilai industri serta mewujudkan peluang perniagaan baharu.

Usaha itu juga dijangka meningkatkan daya saing produk getah Malaysia di pasaran global sekali gus memberi manfaat kepada pekebun kecil getah.

-- BERNAMA