MBSB Investment Bank Naikkan Unjuran Pertumbuhan KDNK Malaysia 2026 Kepada 5.4 Peratus
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 5.4 peratus daripada 5.1 peratus.
Unjuran berkenaan melebihi pertumbuhan 5.2 peratus yang dicatatkan pada 2025, susulan pengembangan 5.6 peratus tahun ke tahun dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, lebih tinggi daripada jangkaan.
Bank pelaburan itu memaklumkan unjuran yang disemak semula berkenaan mengandaikan pertumbuhan ekonomi akan menyederhana kepada sekitar 4.8 peratus tahun ke tahun pada suku keempat tahun ini, memandangkan momentum pertumbuhan dijangka kembali ke paras lebih normal.
Bank itu menambah pertumbuhan ekonomi yang berterusan akan terus dipacu oleh permintaan domestik, disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan, peningkatan aktiviti pelaburan, projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan serta pertumbuhan berterusan sektor pelancongan.
“Prospek pelaburan turut diperkukuh oleh rancangan membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di seluruh Sarawak dan Semenanjung.
“Ini termasuk cadangan modal permulaan sebanyak US$1.85 bilion (US$1=RM4.11) serta potensi pelaburan jangka panjang yang lebih luas sehingga US$50 bilion,” jelas MBSB IB dalam nota penyelidikannya hari ini.
Bank itu menyatakan bahawa sektor luaran juga akan kekal menyokong, disokong oleh permintaan yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi lain.
Bagaimanapun, bank pelaburan itu memberitahu ekonomi Malaysia yang terbuka masih terdedah kepada potensi sekatan sektor tertentu dalam industri semikonduktor, permintaan akhir yang lebih perlahan di ekonomi utama, ketegangan geopolitik yang meningkat serta gangguan perdagangan dan rantaian bekalan yang berpanjangan.
Di peringkat domestik, menurutnya tekanan inflasi boleh menjejaskan kuasa beli isi rumah manakala pertumbuhan import yang berterusan berpotensi mengehadkan sumbangan eksport bersih kepada pertumbuhan ekonomi.
“Secara keseluruhan, aktiviti domestik yang kukuh dan pelaburan berkaitan teknologi dijangka membolehkan ekonomi Malaysia mengekalkan pertumbuhan melebihi 5.0 peratus pada 2026,” jelasnya.
Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 pada 5.4 peratus, disokong oleh pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus setakat ini pada tahun ini.
Bagi baki tahun ini, bank pelaburan itu mengunjurkan pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta eksport E&E yang kekal kukuh.
“Penggunaan swasta juga dijangka terus teguh, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang sihat dan pertumbuhan pendapatan yang berterusan,” jelasnya.
Bank itu menambah bahawa pelaburan swasta dijangka mendapat manfaat daripada projek infrastruktur, pembangunan pusat data dan pengembangan kapasiti pembuatan manakala pelaburan awam akan terus tertumpu pada projek berkaitan utiliti, tenaga dan pengangkutan.
Mengikut sektor, RHB IB memberitahu sektor perkhidmatan akan kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pemulihan sektor pelancongan dan pendigitalan yang berterusan.
Bank itu menambah bahawa pertumbuhan sektor pembuatan akan terus disokong oleh industri berorientasikan eksport, khususnya sektor E&E.
Bagaimanapun, prospek tersebut masih tertakluk kepada ketidaktentuan luaran termasuk kemampanan kitaran pelaburan AI global, ketegangan geopolitik dan perubahan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).
“Peningkatan penelitian kawal selia dan kawalan lebih ketat terhadap teknologi AI termaju berpotensi memperlahankan pelaburan berkaitan AI dengan kesan limpahan terhadap Malaysia menerusi permintaan yang lebih perlahan bagi eksport E&E dan infrastruktur pusat data,” jelas RHB IB.
Dalam pada itu, syarat pelesenan eksport AS yang lebih ketat baru-baru ini bagi cip AI termaju boleh meningkatkan kos pematuhan serta melengahkan proses perolehan unit pemprosesan grafik (GPU) dan pelaksanaan pembangunan pusat data di Malaysia.
Bagaimanapun, menurut bank pelaburan itu, kesan langsung terhadap sektor E&E secara keseluruhan dijangka terhad memandangkan aktiviti pemasangan dan pengujian semikonduktor secara penyumberan luar serta secara tradisional sebahagian besarnya tidak tertakluk kepada sekatan tersebut,.
Ia sekali gus mengehadkan implikasi jangka pendek terhadap pertumbuhan KDNK keseluruhan.
Bagaimanapun, menurut bank pelaburan itu kesan langsung terhadap sektor E&E secara keseluruhan dijangka terhad.
Ini memandangkan aktiviti pemasangan dan pengujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT) tradisional sebahagian besarnya berada di luar skop sekatan tersebut sekali gus memastikan implikasi jangka pendek terhadap pertumbuhan KDNK keseluruhan kekal terkawal.
-- BERNAMA