BERITA TERKINI   JPN Perak sahkan pelajar Tingkatan 3 ditemui maut di sebuah sekolah, arah sekolah beri kerjasama penuh kepada polis | Projek tenaga boleh baharu yang dirancang menerusi program LSS dan CRESS dijangka menambah sekitar 10,000 hingga 11,000 MW kapasiti menjelang 2030 -- PETRA | PETRA, Suruhanjaya Tenaga teliti cadangan pelarasan bahan api automatik berperingkat bagi 2027, pastikan agihan kos bahan api lebih saksama | Penggunaan air bagi pusat data di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan diunjur mencecah 445.04 juta liter sehari menjelang 2030 --PETRA | Margin rizab elektrik bagi tempoh 2027 hingga 2035 diunjurkan pada paras 24 hingga 27 peratus berdasarkan mesyuarat JPPPET pada 11 November lepas -- PETRA. | 

Malaysia Tumpu Kembang Perdagangan, Kekal Hubungan Baik Untuk Pacu Pertumbuhan Ekonomi

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

SHENZHEN (China), 18 Nov (Bernama) -- Malaysia terus menumpukan kepada usaha mengembangkan perdagangan, menarik pelaburan dan mengekalkan hubungan baik dengan semua negara untuk mengukuhkan pertumbuhan ekonomi serta mencipta peluang yang lebih besar bagi perniagaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar berkecuali Malaysia serta penglibatannya dengan semua negara, termasuk kuasa besar dunia, mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perniagaan dan pelaburan.

Ad Banner
Ad Banner

“Dasar kami ialah, kami memanggilnya (dasar) berkecuali. Mereka (para pemimpin) sering bertanya kepada saya, ‘Mengapa anda mempunyai hubungan istimewa yang begitu baik dengan Presiden Xi Jinping dan China?’”

“Saya katakan ‘Inilah yang dimaksudkan dengan kepusatan. Kita berbaik dengan semua pihak,’” kata beliau semasa berucap pada majlis Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC, di sini, hari ini.

Beliau turut menyentuh mengenai pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersama para pemimpin ASEAN semalam (Selasa), sambil menyatakan ia merupakan pertemuan yang baik memandangkan Malaysia mahukan hubungan yang mesra dengan semua pihak.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Anwar berkata pada pagi semalam (Selasa) beliau menerima kunjungan Presiden Perancis Emmanuel Macron di Kuala Lumpur, manakala pada pagi ini beliau bertemu dengan Presiden Xi Jinping dan seterusnya Presiden Rusia, Vladimir Putin.

“Jadi, anda boleh bayangkan, apabila kita mengamalkan dasar kepusatan, iaitu menjalin hubungan baik dengan semua pihak, ia adalah sesuatu yang baik untuk perniagaan,” katanya sambil menambah  beliau telah bertemu dengan Macron, Trump, Xi, Putin serta kesemua 11 pemimpin ASEAN dalam tempoh kurang daripada dua hari.

Beliau menegaskan libat urus itu suatu yang perlu bagi perniagaan.

“Kestabilan politik dan dasar yang jelas, serta insentif yang baik untuk menarik perniagaan, merupakan prasyarat bagi pelaburan perniagaan,” kata beliau.

Turut hadir pada acara tersebut ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dialog tersebut yang menghimpunkan pemimpin industri daripada 23 syarikat terkemuka China menyediakan platform strategik untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala serta meneroka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik antara Malaysia dan China.

Perbincangan dialog tersebut merangkumi sektor berimpak tinggi seperti tenaga baharu dan bahan bateri bersama EVE Energy, Shenzhen Senior Technology, Capchem, Tinci dan XTC New Energy; peranti pintar dan teknologi digital bersama Xiaomi, Honor dan Tencent; teknologi perubatan bersama Mindray; serta pembuatan termaju, automasi, perkhidmatan kewangan dan logistik.

Selain itu, beberapa syarikat utama China, termasuk Plastech China, Eternal Asia, Guangdong Import & Export Co. (GDIE) dan Kingfa Sci. & Tech turut meneroka peluang mendapatkan bekalan produk dan bahan dari Malaysia bagi memenuhi keperluan operasi dan pasaran global mereka.

Ini merangkumi sektor pembuatan bernilai tinggi, bahan kimia khusus, polimer, perkhidmatan digital dan produk berasaskan sawit.

Anwar berkata usaha ini berpotensi membuka lebih banyak peluang eksport, memperluas pasaran serta meningkatkan penyertaan syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana tempatan dalam rantaian bekalan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih inklusif dan berdaya saing. 

--BERNAMA