BERITA TERKINI   Projek tenaga boleh baharu yang dirancang menerusi program LSS dan CRESS dijangka menambah sekitar 10,000 hingga 11,000 MW kapasiti menjelang 2030 -- PETRA | PETRA, Suruhanjaya Tenaga teliti cadangan pelarasan bahan api automatik berperingkat bagi 2027, pastikan agihan kos bahan api lebih saksama | Penggunaan air bagi pusat data di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan diunjur mencecah 445.04 juta liter sehari menjelang 2030 --PETRA | Margin rizab elektrik bagi tempoh 2027 hingga 2035 diunjurkan pada paras 24 hingga 27 peratus berdasarkan mesyuarat JPPPET pada 11 November lepas -- PETRA. | Kerajaan ambil pendekatan tadbir urus berfokus pastikan rakyat dilindungi seiring perubahan industri, pekerjaan susulan perkembangan AI - Fahmi  | 

Kertas Strategi BNM Perluas Penggunaan Kontrak Syariah Dalam Pembiayaan, Pelaburan

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kertas Strategi terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM) menggariskan bagaimana rangkaian kontrak Syariah yang lebih luas boleh diaplikasikan secara lebih terarah dan pelbagai bagi memenuhi keperluan pembiayaan, pelaburan dan perlindungan yang semakin berkembang, menurut bank pusat itu.

Timbalan Gabenor BNM Adnan Zaylani berkata penyelesaian kewangan kini semakin menggabungkan pelbagai kontrak, menyokong lebih banyak aktiviti ekonomi serta dilaksanakan menerusi model perniagaan dan teknologi yang sentiasa berubah.

“Pematuhan terhadap keperluan Syariah kekal sebagai asas utama bagi transaksi kewangan Islam.

Ad Banner
Ad Banner

“Kontrak Syariah yang memudah cara perdagangan, pelaburan, penyediaan perkhidmatan dan perlindungan perlu diaplikasikan dengan cara yang mencerminkan tujuan asalnya serta menyumbang kepada objektif kewangan Islam yang lebih luas,” katanya dalam ucapan pada Forum Fellowship Profesional CIIF 2026.

Adnan berkata usaha merapatkan jurang keupayaan ini memerlukan komitmen bersama yang terancang, khususnya dalam kalangan pengamal kewangan Islam, pakar Syariah dan pakar teknologi, menerusi pertukaran pandangan profesional yang lebih erat.

“Setiap pihak melihat cabaran dan peluang daripada perspektif berbeza. Pengamal memahami keperluan perniagaan dan pelanggan; pakar Syariah menilai kesahihan dan integriti struktur yang mendasarinya; manakala pakar teknologi memahami cara penyelesaian digital beroperasi serta aspek yang mungkin terdedah kepada kelemahan,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata keadaan itu mencerminkan realiti lebih luas bahawa keupayaan yang diperlukan bagi fasa seterusnya pembangunan kewangan Islam mungkin tidak tertumpu pada mana-mana satu institusi, profesion atau pasaran.

“Kebanyakan kepakaran yang diperlukan sebenarnya sudah tersedia, namun tersebar merentasi pelbagai bahagian sektor kewangan, ekonomi yang lebih luas dan semakin melangkaui sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata Malaysia turut berusaha memperluas kemudahan bagi struktur perdagangan dan pelaburan rentas sempadan yang berpotensi merangkumi instrumen derivatif dan lindung nilai, sekali gus memerlukan keupayaan teknikal yang lebih tinggi.

Adnan berkata Majlis Penasihat Syariah (SAC) telah pun mengkaji kes penggunaan dalam pengurusan mudah tunai antara bank dan lindung nilai.

“Sebagai sebahagian daripada aspirasi lebih besar kita, kewangan Islam juga sedang diperkukuh bagi memenuhi keperluan segmen pertumbuhan bernilai US$2 trilion (US$1 = RM4.11), iaitu ekonomi halal dan kewangan mampan.

“Selain itu, menerusi agenda Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), sebahagian besar asas telah dibangunkan bagi membolehkan Malaysia muncul sebagai hab kewangan Islam yang mempunyai jaringan hubungan global,” katanya.

-- BERNAMA