Penilaian Kesiapsiagaan Tenaga Nuklear Negara Dijangka Dimuktamad Suku Kedua 2027 – Petra
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Penilaian kesiapsiagaan pembangunan tenaga nuklear negara berasaskan kriteria Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dijangka dimuktamadkan pada suku kedua 2027 bagi menentukan hala tuju dan keputusan berhubung pembinaan loji nuklear.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata MyPOWER Corporation telah diberi mandat selaku Organisasi Pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO) bagi menerajui pembangunan tenaga nuklear negara.
“Agensi ini menerima peruntukan sebanyak RM7 juta bagi perbelanjaan pengurusan dan RM15.2 juta bagi Program Pembangunan Tenaga Nuklear Penjanaan Elektrik pada 2027, selain komitmen berterusan bertujuan memperkukuh modal insan serta kepakaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Dewan Rakyat hari ini.
Mengenai pengurusan permintaan elektrik, Abdul Rahman berkata kerajaan turut memberi penekanan kepada langkah kecekapan tenaga bagi mengoptimumkan penggunaan elektrik oleh pengguna berintensiti tinggi.
“Cadangan pelaksanaan insentif Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) bagi perkhidmatan pajakan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) akan dibincangkan bersama-sama dengan Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata menerusi Program Geran Audit Tenaga Bersyarat (EACG) 2.0, sebanyak 444 geran industri dan 349 geran komersial telah diberikan dengan anggaran penjimatan sebanyak 718.9 juta kilowatt-jam (kWj), bersamaan RM249 juta.
Katanya, pelaksanaan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 (Akta 861) sejak 1 Januari 2025 pula telah turut memperkukuh pengurusan tenaga sektor industri dan komersial.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM 5.33 bilion yang diperuntukkan kepada PETRA dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas oleh 32 Ahli Parlimen.
-- BERNAMA