BERITA TERKINI   Hubungan diplomatik baik, hasil kerja teliti Wisma Putra antara faktor Malaysia dipilih anggotai semula Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) - Fahmi | Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.9 peratus pada Oktober 2026 daripada 1.8 peratus pada September 2026 -- DOSM | Onn Hafiz zahir penghargaan kepada PM Anwar, Kerajaan Persekutuan atas peruntukan RM4.86 bilion kepada Johor menerusi RMK13 | Belanjawan Johor 2027: Penjawat awam Johor terima insentif khas dua bulan setengah gaji - Onn Hafiz | 654 projek Reformasi Kerenah Birokrasi siap, menjana penjimatan kos pematuhan RM3.71 bilion setakat 30 Okt - MITI | 

Inflasi Malaysia Meningkat Kepada 1.9 Peratus Pada Oktober 2026 -- DOSM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.9 peratus pada Oktober 2026 berbanding 1.8 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) turut meningkat kepada 137.7 mata daripada 135.1 mata pada Oktober 2025.

“Peningkatan ini didorong oleh kumpulan pengangkutan yang mencatatkan kenaikan ketara kepada 4.2 peratus berbanding 2.5 peratus pada September 2026,” menurut jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Jabatan itu berkata inflasi bagi kumpulan minuman beralkohol dan tembakau meningkat kepada 2.9 peratus pada Oktober 2026 daripada 2.8 peratus pada September 2026.

Sementara itu, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain naik kepada 1.9 peratus daripada 1.4 peratus pada bulan sebelumnya.

“Kumpulan hiasan, peralatan dan penyelenggaraan isi rumah serta pakaian dan kasut turut mencatatkan peningkatan pada Oktober 2026, masing-masing kepada 0.5 peratus (September 2026: 0.3 peratus) dan 0.3 peratus (September 2026: 0.2 peratus),” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi inflasi kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan pula ia menyederhana kepada 2.1 peratus pada Oktober 2026 daripada 2.2 peratus pada September 2026, manakala kumpulan pendidikan serta makanan dan minuman masing-masing mencatatkan peningkatan 1.8 peratus (September 2026: 2.1 peratus) dan 1.7 peratus (September 2026: 1.8 peratus), katanya.

Pada masa yang sama, kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan turut meningkat kepada 1.2 peratus pada Oktober 2026 berbanding 2.8 peratus pada September 2026.

Inflasi bagi kumpulan maklumat dan komunikasi serta kesihatan kekal tidak berubah masing-masing pada 1.8 peratus dan 1.4 peratus pada Oktober 2026 berbanding bulan sebelumnya.

Selain itu, kumpulan rekreasi, sukan dan kebudayaan serta insurans dan perkhidmatan kewangan masing-masing mencatatkan kadar inflasi 1.2 peratus, tidak berubah berbanding September 2026, katanya.

DOSM berkata tujuh negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi paras nasional 1.9 peratus, didahului Negeri Sembilan pada 2.6 peratus, diikuti Kedah (2.5 peratus), Johor dan Putrajaya (masing-masing 2.3 peratus), Pahang dan Labuan (masing-masing 2.2 peratus) serta Selangor (2.1 peratus).

Jabatan itu berkata semua negeri mencatatkan peningkatan inflasi bagi kumpulan makanan dan minuman, kecuali Kelantan yang merekodkan penurunan pada Oktober 2026.

Mengikut perbandingan bulan ke bulan, DOSM berkata inflasi keseluruhan pada Oktober 2026 meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus, sama seperti kadar yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Kumpulan pengangkutan meningkat 0.7 peratus berbanding 0.6 peratus pada September 2026. Kumpulan kesihatan serta rekreasi, sukan dan kebudayaan masing-masing meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus dan 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.

“Peningkatan lebih tinggi turut berlaku dalam kumpulan hiasan, perkakasan, peralatan dan penyelenggaraan isi rumah serta minuman beralkohol dan tembakau pada Oktober 2026, iaitu masing-masing kepada 0.2 peratus (September 2026: -0.1 peratus) dan 0.1 peratus (September 2026: 0.0 peratus),” katanya.

DOSM berkata kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan mencatatkan kadar inflasi negatif 0.1 peratus pada Oktober 2026 berbanding 0.4 peratus pada September 2026.

Lima kumpulan lain tidak mencatatkan sebarang perubahan pada Oktober 2026, iaitu pakaian dan kasut; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain; maklumat dan komunikasi; pendidikan; serta insurans dan perkhidmatan kewangan, katanya.

-- BERNAMA