Rantau APEC Penting Kepada Pertumbuhan Ekonomi Global, AS Komited Kepada Kemakmuran, Kestabilan - Trump
Daripada Kisho Kumari Sucedaram
SHENZHEN (China), 19 Nov (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hari ini menyifatkan rantau Asia Pasifik sebagai rantau yang mempunyai kegiatan ekonomi paling rancak dan berkembang pesat di dunia, sambil mengulangi komitmen Washington untuk menggalakkan pertumbuhan, kestabilan, kedaulatan, kemakmuran dan keamanan di seluruh rantau itu.
Trump ketika berucap pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini berkata ekonomi negara-negara di Lingkungan Pasifik secara keseluruhannya menyumbang hampir separuh daripada pengeluaran minyak global, lebih 90 peratus pengeluaran semikonduktor, dua pertiga pengeluaran kereta dan tiga perlima daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.
Beliau berkata rantau itu kekal sebagai sumber penting kekayaan, modal, tenaga dan inovasi kepada ekonomi global.
"Secara bersama, negara-negara Lingkungan Pasifik membentuk rantau yang paling rancak dari segi ekonomi dan berkembang paling pesat di dunia serta menjadi sumber kekayaan, modal, tenaga dan inovasi kepada seluruh dunia," katanya.
Trump berkata AS sebagai kuasa yang sekian lama mempunyai kepentingan di rantau Pasifik, terus bekerjasama dengan rakan serantau bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kestabilan, dan menegaskan bahawa hubungan di seluruh rantau ini kekal kukuh.
Beliau turut menekankan mengenai prestasi ekonomi AS dengan menyatakan bahawa kadar inflasi berada di bawah dua peratus dalam tempoh tiga bulan lepas, pelaburan dalam peralatan baharu mencatat paras tertinggi manakala eksport juga mencapai paras tertinggi dalam sejarah negara itu.
Trump berkata AS telah memperoleh komitmen pelaburan berjumlah US$22.2 trilion dalam tempoh kurang daripada dua tahun, selain mewujudkan kekayaan baharu bernilai US$25 trilion setakat 1 November, yang menurutnya didorong oleh dasar pentadbiran beliau yang menggalakkan pertumbuhan.
Beliau berkata Washington juga telah memeterai lebih 20 perjanjian perdagangan bagi menggalakkan perdagangan yang lebih kukuh dan seimbang di samping meneruskan rundingan dengan beberapa negara termasuk rakan serantau.
Mengenai perkembangan teknologi, Trump berkata AS kekal sebagai peneraju global dalam bidang kecerdasan buatan (AI), yang disifatkan beliau sebagai transformasi teknologi terbesar sejak Revolusi Perindustrian.
Beliau turut menekankan kerjasama tenaga dengan ekonomi serantau, dan menurutnya AS sedang bekerjasama dengan beberapa negara untuk memperluas perkongsian termasuk menerusi projek saluran paip gas asli cecair (LNG) di Alaska yang baru diluluskan bagi membekalkan gas asli ke Asia.
Trump turut menekankan usaha menggalakkan keamanan serantau dengan merujuk kepada perjanjian antara Kemboja dan Thailand yang dicapai setahun lepas, yang menurut beliau telah membolehkan ramai penduduk kembali ke kediaman masing-masing.
Trump berkata beliau menantikan pertemuan tiga hala dengan Presiden China Xi Jinping dan Presiden Rusia Vladimir Putin pada lewat hari ini bagi membincangkan peluang kerjasama yang selanjutnya.
Beliau juga menyatakan penghargaan kepada Xi dan China yang menjadi tuan rumah kepada perhimpunan APEC selain menghargai layanan mesra yang diberikan kepada pemimpin yang hadir, sambil menekankan bahawa usaha bersama itu bertujuan mewujudkan dunia yang lebih selamat dan makmur.
-- BERNAMA