BERITA TERKINI   Hubungan diplomatik baik, hasil kerja teliti Wisma Putra antara faktor Malaysia dipilih anggotai semula Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) - Fahmi | Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.9 peratus pada Oktober 2026 daripada 1.8 peratus pada September 2026 -- DOSM | 

MPOB Siasat Dakwaan Minyak Sawit Dicampur, Dilabel Semula Di Pelabuhan Klang

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang menyiasat aduan yang mendakwa berlakunya pencampuran minyak masak diimport dengan bekalan tempatan, serta pelabelan semula produk untuk dieksport sebagai produk Malaysia.

MPOB mengesahkan telah menerima aduan rasmi berhubung perkara tersebut dan sedang menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan serta meneliti sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, peraturan, atau syarat pelesenan yang berada di bawah bidang kuasanya.

“Siasatan tersebut merangkumi penelitian terhadap rekod dan dokumen yang berkaitan, termasuk data mengenai import, pemprosesan, penyimpanan, dan eksport minyak sawit oleh pihak yang terlibat.

Ad Banner
Ad Banner

"Semakan silang juga sedang dijalankan terhadap rekod aktiviti pencampuran dan dokumen penghantaran bagi mengenal pasti sebarang percanggahan maklumat," maklumnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MPOB, pencampuran minyak sawit dan produk berasaskan sawit merupakan sebahagian daripada aktiviti pemprosesan industri tersebut, tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat pelesenan, piawaian kualiti, serta peruntukan undang-undang yang berkenaan.

Bagaimanapun, sebarang tindakan memberikan maklumat palsu atau mengelirukan mengenai negara asal sesuatu produk merupakan perkara serius yang mesti ditangani.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Penentuan negara asal bagi produk eksport mestilah mematuhi Peraturan Tempat Asal yang terpakai, termasuk kriteria khusus produk di bawah perjanjian perdagangan yang berkaitan.

"Dalam hal ini, Sijil Asal Keutamaan (PCO) dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi membolehkan pengeksport menikmati pengurangan atau pengecualian tarif di bawah perjanjian perdagangan bebas (FTA), tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan," maklumnya. 

Menurut MPOB, Sijil Asal Bukan Keutamaan (NPCO) biasanya dikeluarkan oleh dewan perniagaan atau persatuan perdagangan yang dilantik oleh MITI.

Bagaimanapun, bagi eksport ke Amerika Syarikat, pengeluaran NPCO telah diambil alih sepenuhnya oleh MITI berkuat kuasa mulai 6 Mei, 2025.

"Penentuan asal mesti dibuat berdasarkan kriteria asal yang ditetapkan bagi produk dan destinasi eksport yang berkenaan," maklumnya.

Menurut MPOB, sekiranya siasatan mendapati bukti berlakunya pelanggaran undang-undang atau syarat pelesenan dalam bidang kuasanya, tindakan sewajarnya akan diambil di bawah peruntukan Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) serta peraturan yang berkaitan.

Sebuah portal berita tempatan baru-baru ini melaporkan seorang ahli perniagaan telah membuat aduan pada 19 Oktober berhubung dakwaan olein sawit Indonesia yang ditapis, diluntur, dan dinyahbau (RBD) telah dicampurkan dengan olein sawit mentah Malaysia di atas kapal tangki MT Eunice di Pelabuhan Klang pada 30 September.

-- BERNAMA