Vertex Material Dinilai Pada US$7 Bilion, Sasar Penyenaraian Nasdaq Pada 2027
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Syarikat bahan termaju Malaysia, Vertex Material yang membangunkan bahan komposit berasaskan tembaga untuk aplikasi perindustrian, muncul sebagai syarikat unicorn (gergasi) baharu selepas mencapai penilaian kira-kira US$7 bilion (US$1=RM4.08).
Syarikat ini juga disasarkan untuk disenaraikan di Nasdaq pada 2027.
Dalam satu kenyataan hari ini, Vertex Material menyatakan penilaian berkenaan ditentukan dalam satu laporan yang disediakan oleh sebuah firma perakaunan Malaysia.
Syarikat itu memaklumkan cadangan penyenaraiannya akan dilaksanakan seiring dengan pelan strategik untuk menubuhkan operasi pembuatan di Amerika Syarikat (AS).
Cadangan penyenaraian itu juga bagi menyokong peningkatan skala komersial, memudah cara pemprosesan sumber tembaga secara langsung serta melancarkan logistik pembuatan untuk memenuhi keperluan kumpulan pelanggan sasarannya.
“Penyenaraian yang dirancang di Nasdaq dijangka memperkukuh pengiktirafan jenamanya di peringkat global serta menyediakan akses kepada modal untuk mengembangkan jejak pengeluaran syarikat di AS.
“Dari segi komersial, Vertex Material telah pun memperoleh perjanjian pengambilan bekalan yang ketara bagi 160,000 tan produk setahun,” tambahnya.
Sementara itu, pengasas dan pengarah teknikalnya Datuk Tan Chin Tong berkata perjanjian pengambilan produk atau bekalan tersebut memberi syarikat itu pangkalan permintaan yang penting manakala cadangan operasi di AS bertujuan mendekatkan pengeluaran dengan para pembekal dan pelanggannya.
“Fasa seterusnya adalah mengenai pelaksanaan. Kami perlu membuktikan prestasi produk yang konsisten, meningkatkan kapasiti pengeluaran serta membangunkan rantaian bekalan yang diyakini berdasarkan permintaan pelanggan yang kami peroleh.
“Cadangan penyenaraian di Nasdaq merupakan sebahagian daripada strategi pengantarabangsaan jangka panjang kami, namun keutamaan serta-merta kami kekal pada perniagaan itu sendiri,” katanya.
Vertex Material menjelaskan formulasi komposit tembaga serta proses pembuatannya yang proprietari direka bentuk untuk membantu pengeluar menggunakan tembaga secara lebih cekap dengan mengurangkan jumlah logam tulen yang diperlukan.
Selain itu, ia mengekalkan ciri-ciri elektrik, terma dan mekanikal yang ditetapkan oleh spesifikasi pelanggan.
Syarikat itu memberitahu bahan berkenaan dibangunkan bagi aplikasi yang tidak memerlukan 100 peratus tembaga tulen dari sudut teknikal sekali gus membolehkankan pengeluar menggunakan bahan komposit alternatif yang memenuhi toleransi kejuruteraan yang diperlukan.
Syarikat itu memaklumkan tembaga kekal sebagai bahan kritikal yang amat dikehendaki secara global, dicetuskan oleh pertumbuhan pesat infrastruktur moden manakala teknologi seperti kecerdasan buatan, semikonduktor, pembinaan pusat data dan sistem pertahanan ketenteraan memerlukan tembaga sebagai bahan fungsi utama.
Memetik Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), syarikat itu menyatakan pasaran tembaga global bernilai US$248.2 bilion pada 2025 manakala pengeluaran tembaga global dijangka mengalami defisit sebanyak 30 peratus menjelang 2035 berdasarkan projek-projek yang sedang dirancang serta usaha kitar semula semasa.
“Vertex Material menyasarkan untuk memanfaatkan defisit struktur ini dengan menggabungkan tembaga dengan bahan komposit lain bagi meningkatkan jumlah keseluruhan bahan yang boleh digunakan dan dihasilkan daripada kuantiti asas tembaga mentah yang sama.
“Selepas berjaya menubuhkan kilang perintis di Malaysia, syarikat itu kini bersedia untuk mengembangkan operasinya ke AS bagi memenuhi permintaan yang terus meningkat,” tambahnya.
Selain itu, memandangkan benua Amerika menempatkan beberapa pengeluar tembaga terbesar di dunia termasuk AS, Kanada, Peru dan Chile, pengembangan tersebut secara strategik menempatkan syarikat itu berdekatan dengan sumber bahan mentah utama bagi menyokong pengeluarannya, jelasnya.
-- BERNAMA