Weng Yat Resources Akan Bekalkan Biojisim Ke Jepun Mulai 2027

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Pengeluar biojisim, Weng Yat Resources Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Daya Synergy Borneo Co Ltd (DSB) yang berpangkalan di Jepun awal hari ini untuk mewujudkan platform bekalan biojisim untuk Jepun dengan penghantaran komersial dijangka bermula awal tahun depan.

Pengarah Eksekutif Weng Yat Resources, Sunderaj Nagalingam berkata perjanjian bekalan jangka panjang disasarkan untuk dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini, penghantaran komersial bermula pada Januari 2027, susulan penghantaran percubaan awal sebanyak 10,000 tan metrik pelet kayu tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata syarikat itu menyasarkan untuk menguasai lima peratus bahagian pasaran import biojisim Jepun dalam tempoh tiga tahun akan datang, satu peluang yang besar, memandangkan saiz yang besar dan permintaan semakin meningkat dalam sektor biojisim Jepun.

Ad Banner

Platform ini bertujuan untuk menyokong sektor penjanaan kuasa biojisim Jepun, yang bergantung kepada import bahan api biojisim, termasuk pelet kayu, tempurung kelapa sawit (PKS) dan pelet tandan kosong (EFB) sebagai sebahagian daripada usaha penyahkarbonannya.

Permintaan biojisim Jepun dianggarkan merangkumi sekitar tujuh juta tan PKS dan sembilan juta tan pelet kayu setiap tahun dengan pelet EFB dikenal pasti sebagai segmen semakin berkembang, didorong oleh ketersediaan bahan mentah dan faktor kos.

Di bawah perkongsian berkenaan, DSB akan menyelaras akses pasaran ke Jepun untuk Weng Yat Resources, berdasarkan hubungan perdagangan sedia ada dengan syarikat perdagangan biojisim dan pengeluar kuasa yang dibangunkan melalui aktiviti eksport PKS dari Sabah.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sunderaj berkata perjanjian itu mencerminkan tumpuan syarikat untuk menukar bahan biojisim kepada produk bahan api boleh dieksport.

Sementara itu, Pengarah Wakil DSB, Hideki Takizawa berkata perjanjian itu meletakkan asas untuk kerjasama jangka panjang dan akses pasaran antara pembekal Malaysia dan pembeli Jepun dalam sektor biojisim.

Ditubuhkan pada tahun 2007, Weng Yat Resources terlibat dalam pengeluaran biojisim dan aktiviti perindustrian lain, termasuk automotif dan perancah.

Operasinya merangkumi sebuah pusat pengumpulan sisa kayu di Klang, Selangor, bahan yang dikumpul akan disalurkan untuk pengeluaran biojisim.

Kumpulan itu mengendalikan kemudahan biojisim di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sarawak, kilang syarikat berkenaan di Tronoh, Perak, menghasilkan kira-kira 6,000 tan metrik pelet kayu sebulan.

Pelan perluasan termasuk talian pengeluaran pelet EFB baharu dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 5,000 tan metrik sebulan, dijangka beroperasi menjelang 2027 serta kemudahan di Kapar, Klang yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran pelet kayu, habuk kayu dan serpihan kayu selepas siap pada tahun depan.

-- BERNAMA