BERITA TERKINI   Singapura naikkan bayaran masuk teksi Malaysia ke S$15 setiap perjalanan bermula 1 Jan, 2027 - LTA  | Malaysia melepasi kapasiti tenaga boleh baharu 13.3GW pada 2025, dipacu oleh pertumbuhan pesat tenaga solar - TPM Fadillah | Malaysia menyasarkan 118 juta liter air terawat sehari menjelang 2030 untuk kegunaan industri, meningkat daripada pengeluaran semasa 48.5 juta liter sehari - TPM Fadillah | Penerangan mengenai krisis bekalan global akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin depan - Akmal Nasrullah | Malaysia kekal pendirian tidak iktiraf junta Myanmar, lawatan tidak rasmi saluran komunikasi tangani krisis - Mohamad Hasan | 

Kurang Satu Peratus Pengguna RON95 Guna Lebih 200 Liter Sebulan - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kurang satu peratus daripada 14 juta pengguna dalam sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menggunakan lebih daripada kuota 200 liter sebulan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata data menunjukkan trend penggunaan pengguna BUDI95 secara konsisten dan ketelusan data itu dipastikan melalui pemantauan harian penggunaan nombor kad pengenalan pengguna.

“Sesiapa yang mahu menggunakan BUDI95 perlu memasukkan nombor kad pengenalan dalam sistem (BUDI95). Kira-kira tiga juta transaksi direkodkan dalam pangkalan data setiap hari. Oleh itu, kita boleh melihat, menganalisis dan memastikannya.

Ad Banner

“Sejak (dilaksanakan bermula) Oktober 2025 hingga Mei lepas, kita melihat (pelaksanaan) BUDI95 berjalan lancar di seluruh negara,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) meminta kerajaan menjelaskan rasional penyelarasan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api menggunakan MyKad dan sama ada had 200 liter sebulan mencukupi untuk kegunaan rakyat.

Menjawab soalan itu, Amir Hamzah berkata merujuk data penggunaan diesel dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), lebih 80 peratus pengguna mencatatkan penggunaan di bawah paras 200 liter sebulan, dengan purata penggunaan kira-kira 140 liter sebulan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Namun demikian, mengambil kira majoriti kenderaan diesel rakyat ialah jenis jip dan pikap, kerana menjadi pengangkutan utama barangan untuk peniaga kecil dan kenderaan penumpang di pedalaman, kerajaan menyediakan kelayakan tambahan BUDI MADANI Diesel 100 liter yang boleh dimohon.

“Berdasarkan data DOSM, 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan. Dengan ini, kelayakan 300 liter sebulan mencukupi untuk rakyat terbanyak,” katanya.

Amir Hamzah berkata penggunaan MyKad bagi penyaluran subsidi ini berjaya menutup ruang ketirisan yang membazirkan bukan sahaja subsidi dari wang rakyat tetapi bekalan bahan api yang amat kritikal pada waktu krisis ini.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi, pada saat krisis ini, kita mahu bekalan diesel kekal di pasaran negara. Kita mahu rakyat terus menikmati diesel pada harga bersubsidi.

“Pembaharuan ini boleh menutup ketirisan, menjamin bekalan pada saat krisis dan memastikan hanya rakyat Malaysia mempunyai keistimewaan menikmati subsidi,” katanya.

Pada 22 Jun lepas, kerajaan memperkenalkan kuota tambahan 100 liter diesel bersubsidi kepada pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak menerusi mekanisme BUDI MADANI, selain kuota asas 200 liter sebulan pada harga RM2.10 seliter.

Amir Hamzah berkata dasar yang berkuat kuasa pada 1 Julai itu dirangka bagi memenuhi keperluan warganegara Malaysia yang layak menggunakan kenderaan diesel.

-- BERNAMA