LB Group Perluas Operasi Di Malaysia Dengan Kemudahan Bernilai RM1 Bilion Di Kedah
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- LB Group Co Ltd, pengeluar titanium dioksida dan bahan kimia bukan organik yang berpangkalan di China, memperluas operasinya di Malaysia dengan melancarkan kemudahan baharu di Gurun Heavy Industrial Park (GHIP) di Kedah, yang membabitkan jumlah pelaburan sebanyak RM1 bilion.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memaklumkan pengembangan itu yang dilaksanakan melalui anak syarikat kumpulan berkenaan iaitu LB Advanced Material Asia Sdn Bhd, meliputi kawasan seluas 24.32 hektar, dengan Fasa 1 melibatkan pelaburan sebanyak RM600 juta.
"Kemudahan ini akan dibangunkan secara berfasa, dengan kapasiti pengeluaran tahunan yang dirancang sebanyak 300,000 tan setelah siap, sekali gus memperkukuh jejak pembuatan dan keupayaan rantaian bekalan LB Group di Asia Tenggara.
"Projek ini dijangka mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan berkemahiran untuk rakyat Malaysia di samping menyumbang kepada pembangunan ekosistem perindustrian dan pembuatan bahan kimia di Kedah," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata keputusan LB Group untuk menubuhkan kemudahan pembuatan di Malaysia mencerminkan keyakinan kukuh terhadap ekosistem perindustrian negara dan potensinya sebagai hab pembuatan serantau.
"Pelaburan kumpulan itu dalam titanium dioksida dan bahan kimia bukan organik termaju akan memperkukuh keupayaan kita dalam sektor pembuatan bernilai tinggi serta menyumbang kepada pembangunan industri kimia yang lebih kompleks dan berdaya tahan.
"Ia juga selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030," jelas beliau.
Sikh Shamsul Ibrahim memaklumkan, MIDA bersama-sama dengan kerajaan negeri Kedah, akan terus memudah cara pelaksanaan projek itu, memperkukuh hubungan dengan pembekal tempatan dan memaksimumkan peluang ekonomi yang lebih luas hasil daripada pelaburan berkenaan.
Pengarah LB Advanced Materials Asia Liang Sun berkata Malaysia menawarkan kelebihan strategik yang luar biasa dengan akses terus ke Gurun melalui lebuh raya utama, rangkaian rel dan Pelabuhan Pulau Pinang, sekali gus memastikan kecekapan eksport yang optimum.
“Penubuhan LB Advanced Materials Asia membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan serantau dan global, di samping menguruskan dinamik perdagangan antarabangsa dengan lebih fleksibel,” katanya.
LB Group mengendalikan rantaian nilai bersepadu yang merangkumi mineral titanium, titanium dioksida, dan span titanium, di samping perniagaan dalam produk zirkonium dan bahan tenaga baharu.
Jenama terunggulnya, BILLIONS membekalkan produk kepada lebih 1,500 pelanggan di seluruh dunia merentas pelbagai aplikasi, termasuk salutan, plastik, dakwat dan kertas.
-- BERNAMA