Pasaran Getah Ditutup Rendah Bagi Hari Keempat Berturut-turut
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur susut ketika mengakhiri dagangan minggu ini pada Jumaat yang juga prestasi bagi hari keempat berturut-turut, menjejaki kerugian dialami pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran turut diasak oleh tekanan peningkatan pengeluaran di negara-negara pengeluar utama, termasuk Indonesia dan Vietnam susulan faktor cuaca yang baik serta penyusutan harga minyak mentah.
“Faktor itu terus meningkatkan bekalan getah asli. Selain itu, harga minyak dijangka susut ketika ketegangan Asia Barat mereda dan memulihkan prospek bekalan global,” katanya kepada Bernama.
Setakat petang ini, harga minyak mentah Brent turun 3.43 peratus kepada US$72.68 setong.
Menurut peniaga itu, kebimbangan berkaitan kadar faedah utama Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi serta tekanan inflasi yang ketara, terus memberi kesan terhadap sentimen pasaran.
Inflasi AS yang melonjak pada Mei 2026 dengan mencatat lebih empat peratus, mengukuhkan lagi jangkaan kemungkinan kadar faedah lebih tinggi bagi tempoh yang panjang.
Bagaimanapun, beliau berkata sebahagian daripada kerugian dialami komoditi itu dapat ditampung oleh jangkaan gangguan bekalan berkaitan cuaca selepas Thailand memberi amaran hujan lebat boleh menjejaskan aktiviti menoreh getah selain faktor pertumbuhan ekonomi AS yang lebih kukuh pada suku pertama.
Pada 3 petang ini, harga Getah Mutu Malaysia SMR 20 turun 27 sen kepada 880.5 sen sekilogram manakala lateks pukal susut 10 sen kepada 769.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA