RT Pastry Kini Disenaraikan Di Pasaran ACE, Sasar Lebar Sayap Ke Pantai Timur
KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Penyedia produk pastri dan bakeri, RT Pastry Holdings Bhd yang mencatat kemunculan pertama di Pasaran ACE, menyasarkan untuk menyalurkan modal terkumpul daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi memperluas operasi ke Pantai Timur.
Ketua Pegawai Operasi Tia Yu Hoo berkata usaha itu bagi memanfaatkan permintaan kukuh yang belum dapat ditampung selain persaingan terhad daripada rangkaian bakeri runcit.
Langkah memperkukuh kedudukan di wilayah berkenaan juga bertujuan memberi perkhidmatan baik kepada pelanggan di sana sambil mempercepat perancangan pengembangan untuk menjangkai lebih ramai pengguna Muslim dan pasaran lebih meluas.
“Secara tentatif, kami menyasarkan Kuantan, Pahang terlebih dahulu dan seterusnya ke kawasan lain menjelang tahun depan,” katanya pada majlis penyenaraian syarikat itu di sini, hari ini.
Pada 9 pagi ini, RT Pastry disenaraikan pada 17.5 sen atau diskaun 0.5 sen daripada harga IPO pada 18 sen dengan sejumlah 68.28 juta saham saling berpindah tangan.
Mengulas prestasi harga saham itu, Tia berkata syarikat mengharapkan kemunculan pertama yang lebih kukuh dan akan terus beruaha bagi memastikan pertumbuhan yang mampan.
“Sudah semestinya kami mahu menjadi sebuah syarikat hijau dan akan berusaha gigih dari suku ke suku untuk memastikan dapat memberi keuntungan kepada pertumbuhan serta pemegang saham,” katanya.
Atas alasan itu, syarikat berkenaan menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 10 peratus pertumbuhan jualan setiap tahun.
Ditanya mengenai kemungkinan RT Pastry berkembang ke pasaran luar negara, Tia berkata pada masa ini langkah itu kekal sebagai perancangan jangka panjang.
Bagi pembukaan kemudahan pengeluaran baharu, beliau berkata syarikat berhasrat mengenal pasti satu lokasi strategik atau premis bersesuaian menjelang suku keempat 2026 sebelum memulakan sebarang kerja-kerja berkaitan yang diperlukan.
RT Pastry juga mahu memanfaatkan IPO itu untuk tujuan transformasi kepada sebuah syarikat pengeluaran makanan bersepadu dengan menggabungkan pengembangan runcit seluruh negara dan perniagaan pengeluar peralatan asal (OEM) yang pesat serta menyediakan perkhidmatan kepada kafe pihak ketiga dan peruncit makanan.
“Itu yang sedang kami bincangkan. Kami akan menyediakan produk OEM secara khusus agar berbeza sedikit daripada outlet runcit selain dapat memberi lebih banyak nilai kepada pelanggan korporat juga.
“Ini semua bergantung kepada keinginan serta kualiti produk yang mereka inginkan,” katanya.
Bagi perniagaan pengedaran, Tia berkata syarikat itu sedang dalam perbincangan dengan pemborong dan pelanggan korporat untuk meluaskan lagi saluran jualannya.
RT Pastry pada masa ini mengendalikan 18 cawangan selepas pembukaan terbaharu di Taman Equine bulan lepas.
Syarikat itu juga menguruskan dua kemudahan pengeluaran secara berpusat di Seri Kembangan dan Shah Alam, Selangor dengan masing-masing menumpukan usaha pengeluaran pastri serta roti.
-- BERNAMA