DNB Percepat Fasa Pertumbuhan 5G Seterusnya
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Digital Nasional Bhd (DNB) sedang mempergiat usaha untuk meningkatkan kapasiti, prestasi dan memenuhi keperluan masa hadapan selari dengan peranannya sebagai penyedia infrastruktur 5G terkemuka Malaysia.
Dalam satu kenyataan, DNB memaklumkan ia sedang giat mengaktifkan spektrum baharu yang diperuntukkan dalam jalur 3.3–3.4 GHz (F-Zero).
Dengan penambahan ini, jumlah pegangan spektrum jalur pertengahan berterusan DNB meningkat kepada 200 MHz apabila digabungkan dengan spektrum sedia ada dalam jalur 3.4 hingga 3.5 GHz.
Ini merupakan pegangan spektrum jalur pertengahan terbesar di Malaysia dan secara efektif menggandakan kapasiti rangkaian, sekali gus meningkatkan kecekapan rangkaian serta pengalaman pengguna khususnya di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.
"Lebih penting lagi, peningkatan kapasiti ini membolehkan DNB bersama para pelanggannya menyokong fasa baharu pendigitalan perusahaan.
Ini termasuklah pembangunan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), automasi, internet pelbagai benda (IoT) industri serta perkhidmatan misi kritikal," menurut kenyataan itu.
Sehingga kini, lebih 50 tapak telah dinaik taraf dan lebih banyak tapak lagi akan diaktifkan secara berperingkat. Penambahbaikan ini akan meningkatkan prestasi rangkaian di kawasan trafik tinggi, di samping menyokong aplikasi yang memerlukan kapasiti dan penggunaan data yang lebih tinggi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, DNB mengesahkan U Mobile telah keluar daripada rangkaian 5G miliknya berkuat kuasa 30 Jun, 2026.
Keadaan ini mencerminkan evolusi landskap 5G Malaysia serta menyokong dasar nasional untuk mewujudkan ekosistem digital yang berdaya tahan, kompetitif dan bersedia masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif DNB Datuk Azman Ismail berkata syarikat itu akan memberi tumpuan kepada memperkukuh prestasi rangkaian, meningkatkan keupayaan perusahaan dan memayungi gelombang inovasi digital yang seterusnya.
“Kami sedang memasuki fasa baharu bagi DNB yang ditakrifkan oleh kapasiti yang lebih kukuh, kerjasama yang lebih mendalam dan pelaksanaan yang lebih tepat.
“Dengan permintaan yang semakin meningkat dan peluang digital baharu khususnya dalam AI dan pendigitalan industri, kami komited untuk menyediakan rangkaian yang bukan sahaja memenuhi keperluan hari ini, tetapi juga memperkasa masa depan digital Malaysia,” tambah beliau.
Pada masa ini, DNB mengendalikan sebahagian besar trafik mudah alih 5G Malaysia, dengan CelcomDigi, Maxis dan YTL Communications sebagai pemegang saham yang mempunyai gabungan 30 juta pengguna.
Ini mencerminkan sokongan industri yang kukuh serta keyakinan berterusan terhadap model perkongsian infrastruktur berkenaan.
Secara kolektif, para pemegang saham DNB telah melabur lebih RM2 bilion setakat ini.
-- BERNAMA