Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Selari Kelemahan Minyak Sayuran Serantau
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, menjejaki prestasi lemah pasaran minyak sayuran serantau, termasuk di Bursa Komoditi Dalian.
Pedagang proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng, berkata prestasi lemah minyak sayuran pesaing memberi tekanan kepada sentimen dalam pasaran minyak sawit tempatan.
Beliau berkata kebimbangan terhadap peningkatan inventori domestik turut menekan harga.
“Peningkatan stok dikaitkan dengan pengeluaran yang bertambah baik, sekali gus meningkatkan jangkaan bekalan yang lebih tinggi dalam pasaran.
“Prospek peningkatan bekalan menyebabkan minat belian kekal berhati-hati dan mengehadkan sokongan terhadap harga MSM sepanjang sesi dagangan,” katanya kepada Bernama.
Ng berkata harga MSM dijangka mendapat sokongan pada RM4,550 satu tan, manakala paras rintangan berada pada RM4,700 satu tan.
Pada akhir dagangan, kontrak Oktober 2026 susut RM33 kepada RM4,433 satu tan, manakala kontrak November 2026 turun RM33 kepada RM4,523 satu tan dan kontrak Disember 2026 berkurangan RM40 kepada RM4,624 satu tan.
Kontrak Januari 2027 jatuh RM43 kepada RM4,731 satu tan, Februari 2027 merosot RM46 kepada RM4,830 satu tan, manakala Mac 2027 turun RM42 kepada RM4,926 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 114,553 lot daripada 92,860 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 339,820 kontrak daripada 338,007 kontrak sebelum ini.
Harga fizikal MSM bagi Oktober di Selatan berada pada RM4,500 satu tan.
-- BERNAMA