Bursa Malaysia Kemuka Pertanyaan UMA Kepada Skygate Berhubung Lonjakan Harga Sahamnya

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengemukakan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) kepada Skygate Solutions Bhd berikutan kenaikan mendadak harga saham syarikat berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, bursa itu turut menasihatkan para pelabur supaya mengambil perhatian terhadap jawapan syarikat itu yang akan diterbitkan di bawah Pengumuman Syarikat di laman web Bursa Malaysia sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan mereka.

Syarikat pegangan pelaburan yang berpangkalan di Malaysia itu telah diminta menyatakan sama ada terdapat sebarang perkembangan korporat berkaitan perniagaan dan urusan kumpulan yang boleh menjelaskan aktiviti dagangan berkenaan.

Ad Banner

Bursa itu turut meminta syarikat berkenaan menyatakan sama ada mengetahui sebarang khabar angin atau laporan berhubung perniagaan dan urusan kumpulan yang mungkin menyumbang kepada aktiviti dagangan berkenaan, serta terdapat sebarang penjelasan lain yang munasabah bagi aktiviti dagangan itu dan adakah ia mematuhi Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia Securities.

Dalam satu makluman berasingan, SkyGate Solutions mengesahkan tiada sebarang perkembangan korporat berkaitan perniagaan dan urusan kumpulan yang masih belum diumumkan. Ini termasuk sebarang maklumat yang kini dalam rundingan atau perbincangan yang boleh menjelaskan aktiviti dagangan luar biasa itu.

Syarikat itu juga menyatakan ia tidak mengetahui sebarang khabar angin atau laporan berhubung perniagaan dan urusan kumpulan yang mungkin menjadi punca kepada aktiviti dagangan berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Syarikat juga tidak mengetahui sebarang penjelasan lain yang mungkin menyebabkan aktiviti dagangan itu. Syarikat juga mengesahkan ia mematuhi sepenuhnya Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, khususnya Perenggan 9.03 berhubung kewajipan membuat pendedahan dengan segera,” tambahnya.

-- BERNAMA