BMCC Iktiraf Kejayaan 23 Nama Pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan 2026
SUBANG JAYA, 1 Okt (Bernama) -- Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) hari ini telah mengiktiraf kejayaan 23 nama pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan (BEA) BMCC ke-7 berikutan prestasi, inovasi dan impak yang mereka sumbang terhadap landskap perniagaan antara United Kingdom (UK) serta Malaysia.
Anugerah tahun ini menerima 49 penyertaan merentas tujuh kategori, atas pencapaian mereka merentas pertumbuhan perniagaan, perkongsian strategik, bakat, persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), teknologi dan inovasi, pendidikan K12 termasuk pembangunan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Antara 23 calon, AstraZeneca Sdn Bhd menerima anugerah Perniagaan Terbaik UK-Malaysia selepas melabur lebih RM600 juta sepanjang lima tahun lepas selain meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk penyelidikan klinikal, inovasi penjagaan kesihatan dan perkhidmatan perniagaan global. Syarikat itu telah mencipta lebih 1,000 pekerjaan serta menjadi syarikat farmaseutikal terpenting di Malaysia pada 2026.
Universiti Malaya dan Pearson menerima anugerah Perkongsian Terbaik UK-Malaysia atas kerjasama inovatif mereka melalui Program Biasiswa PTE x Universiti Malaya.
Pengerusi BMCC Nik Tasha Nik Kamaruddin berkata anugerah itu mencerminkan amalan kerjasama UK-Malaysia yang mantap dan turut menekankan kepentingan untuk mengukuhkan perkongsian sedemikian.
“Kecemerlangan bukan semata-mata mengenai mencapai keputusan yang kukuh; ia juga tentang mencipta nilai yang berkekalan, untuk perniagaan, orang ramai dan ekonomi yang lebih luas. Tahniah kepada semua pemenang dan calon kami kerana berjaya meningkatkan tahap serta menonjolkan apa yang mungkin apabila cita-cita dipadankan dengan inovasi, daya tahan dan kerjasama,” katanya melalui satu kenyataan.
Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong, antara orang kenamaan yang hadir.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ajay Sharma dan penaung bersama BMCC serta Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.
Ditubuhkan pada 2018, Anugerah Kecemerlangan Perniagaan BMCC menekankan keluasan peluang dalam hubungan komersial UK-Malaysia
Bagi penerima anugerah lain, Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah diberi penghormatan dengan Anugerah Kecemerlangan ESG kerana membenamkan kelestarian ke dalam strategi perniagaan terasnya termasuk menyampaikan impak alam sekitar, sosial dan ekonomi yang boleh diukur.
PwC Malaysia menerima Anugerah Kecemerlangan Bakat, mengiktiraf pendekatan berpaksikan rakyat untuk membina tenaga kerja sedia masa hadapan.
Manakala, Kumpulan YTL telah diiktiraf dengan Anugerah Kecemerlangan Teknologi dan Inovasi selepas kejayaannya dalam membangunkan ekosistem kecerdasan buatan (AI) berdaulat Malaysia.
Anugerah Kecemerlangan K12 telah disampaikan kepada Nexus International School Malaysia atas komitmennya untuk membangunkan pelajar yang berfikiran global dan bertanggungjawab secara sosial melalui program kewarganegaraan global serta pembelajaran perkhidmatan.
Anugerah Kecemerlangan PKS telah dianugerahkan kepada Kolej London School of Business and Finance (LSBF) atas pertumbuhan pesat dan sumbangannya kepada cita-cita Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.
-- BERNAMA